RITA tidak halang minat anak ceburi sukan bola sepak.
RITA tidak halang minat anak ceburi sukan bola sepak.
Ramlah Zainal

SEBAGAI ibu, pelakon Rita Rudaini mengakui dia tidak pernah menghalang minat anaknya untuk menceburi sukan bola sepak sekali gus mengikut jejak bekas suaminya itu.

Malah, kata Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, dia sentiasa menyokong apa yang menjadi minat dan kecenderungan anak-anaknya.

"Apa yang anak suka, saya sentiasa galakkan mereka untuk buat. Anak lelaki memang suka main bola sepak.

"Anak sulung, Rayyan, suka main bola sepak dan larian trek. Anak kedua pula, Arjuna suka main bola sepak, larian, bola baling dan sekarang cuba nak main ragbi pula.

"Arjuna juga pernah tanya boleh ke kalau dia nak jadi pemain bola sepak nanti.

"Saya kata bukan tidak bagi, tapi kalau boleh jadi yang boleh pergi hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Kata Rita, dia menasihatkan anak-anaknya menamatkan persekolahan mereka hingga ke peringkat tinggi terlebih dahulu.

"Saya pesan nak jadi apa pun, jadilah. Tetapi pastikan sekolah sampai habis. Jadi pemain bola sepak yang bijak," katanya kepada Harian Metro.

Rita berkahwin dengan bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun bercerai pada September 2013 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 dan Airit Qaqa Arjuna, 13.

Rita ditemui pada sesi temu bual bersama barisan pelakon sitkom komedi terbaharu terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Ditanya pembabitannya dalam bidang sukan pula, kata Rita, dia pernah terpilih mewakili Perlis dalam sukan silat olahraga pada Sukan Malaysia (Sukma) pada zaman mudanya dulu.

"Bila cerita dengan anak mereka pun terkejut bila dapat tahu perkara itu.

"Tapi masa terpilih untuk wakil Sukma, saya tidak dapat pergi sebab emak bakar baju silat saya. Emak harapkan saya yang juga satu-satunya anak perempuan buat kerja-kerja perempuan, tapi sebaliknya pula," kata Rita yang menganggap peluang terbabit dalam sitkom terbitan TV3 iaitu JCC sebagai lembaran baharu dalam karier seninya.

Bintang filem Mami Jarum itu mengakui teruja, tetapi pada masa sama gementar kerana buat julung kali menjayakan sitkom.

"Sebenarnya ini kali pertama saya berlakon sitkom. Semasa dapat tawaran saya tak terus berikan jawapan, tapi ambil masa tanya kawan sebab hendak dapatkan nasihat.

"Rakan artis cadang saya cuba berlakon sitkom sebab tak pernah buat. Disebabkan itu, saya terima tawaran ini sebab hendak tahu bagaimana situasi sebenar penggambaran dalam studio.

"Selepas terima barulah saya dapat tahu barisan pelakon lain," katanya.

Rita berkata, dia juga berasa lega bila dapat tahu barisan pelakon lain yang boleh membantunya untuk menjayakan sitkom berkenaan.

"Bila tengok ada pelakon Izzue Islam, saya rasa dia boleh bantu sebab kami pernah bekerjasama.

"Tapi, bila bercerita dengan rakan pelakon, mereka anggap ini perkara menyeronokkan.

"Saya juga berasa gementar bila pergi sesi 'script reading' (pembacaan skrip) takut tak boleh masuk, tapi Alhamdulillah semua pelakon profesional dan saling membantu," katanya.

Mengenai watak 'lady boss' iaitu Rozy pula, kata Rita ia ada persamaan dengan karakter sebenarnya ketika di luar.

Selain Rita dan Izzue, sitkom JCC turut menampilkan barisan pelakon seperti Shiha Zikir, Andi Bernadee dan pendatang baharu, Aya Amiruddin.

Ia bakal disiarkan bermula 9 Ogos hingga 27 September nanti setiap Jumaat, jam 10 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:20 AM