DR Wan Zul Haikal Hafiz
DR Wan Zul Haikal Hafiz
KESEDARAN pemindahan organ dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.
KESEDARAN pemindahan organ dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SUDAH dua tahun lelaki ini meneruskan kehidupan menggunakan buah pinggang isterinya selepas menjalani prosedur pemindahan organ itu pada 2022.

Sejak itu, kualiti kehidupan Mohd Eyzendy Aziz, 44, menjadi lebih baik dan boleh bekerja semula untuk menyara keluarga.

Menurutnya, dia kini bergantung kepada 14 jenis ubat setiap hari untuk mencegah penolakan organ dan membolehkan buah pinggang yang diterima berfungsi dengan normal.

"Saya tidak menyangka isteri layak dan sesuai mendermakan buah pinggang kepada saya. Syukur, Alhamdulillah.

"Malah, saya rasa seperti diberi peluang kehidupan kedua selepas mempunyai buah pinggang baharu," katanya ketika ditemui pada program Sambutan Hari Buah Pinggang 2024 di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Berkongsi sejarah penyakit buah pinggang dihidapinya, Mohd Eyzendy berkata, dia tergerak hati membuat pemeriksaan kesihatan kerana sudah 20 tahun tidak melakukan prosedur itu.

Namun dia terkejut dimaklumkan keadaan dua buah pinggang sudah mengecut yang menandakan organ itu sudah rosak pada 2019.

"Pada mulanya agak sukar saya terima kenyataan ini kerana tidak mengalami sebarang gejala masalah buah pinggang.

PENYAKIT buah pinggang adalah pembunuh senyap kerana tiada gejala peringkat awal penyakit.
PENYAKIT buah pinggang adalah pembunuh senyap kerana tiada gejala peringkat awal penyakit.

"Cumanya dalam tempoh beberapa bulan sebelum didiagnosis penyakit buah pinggang tahap akhir, saya mudah berasa cepat penat yang disangka faktor usia," katanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan dia perlu dirujuk ke hospital dan bersedia menjalani rawatan dialisis.

"Saya berasa 'down' kerana rawatan dialisis perlu dilakukan tiga kali seminggu yang mana setiap sesi mengambil masa empat jam.

"Ini rutin yang memenatkan dan sukar untuk saya lalui sepanjang hayat. Kali pertama jalani rawatan dialisis ialah pada Disember 2020," katanya.

PEMINDAHAN buah pinggang tingkat kualiti hidup pesakit.
PEMINDAHAN buah pinggang tingkat kualiti hidup pesakit.

Katanya, kesihatan perkara yang berharga dan setiap kali berjumpa rakan, pasti dia menyelitkan nasihat kepada supaya membuat pemeriksaan kesihatan berkala setiap tahun.

"Ini supaya boleh mengesan penyakit lebih awal untuk memulakan proses rawatan segera.

"Jika penyakit lewat dikesan dan sudah pada tahap teruk, maka ia sukar dipulihkan," katanya.

Sementara itu Pakar Nefrologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM Dr Wan Zul Haikal Hafiz Wan Zukiman berkata, pemindahan buah pinggang bukan sahaja dapat mengembalikan fungsi buah pinggang asal, tetapi mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit berbanding menjalani rawatan dialisis.

Menurutnya, ada dua jenis pendermaan organ buah pinggang iaitu kadaverik (selepas meninggal dunia) dan ketika hidup.

"Pendermaan organ kadaverik, dalam kes seperti ini organ dikeluarkan selepas penderma meninggal dunia dengan kebenaran keluarga si mati.

MOHD Eyzendy
MOHD Eyzendy

"Manakala pendermaan organ ketika hidup iaitu seseorang yang masih hidup mendermakan salah satu buah pinggang.

"Lazimnya penderma organ jenis ini ahli keluarga atau pasangan suami isteri pesakit," katanya.

Dr Wan Zul Haikal Hafiz berkata, untuk kelangsungan ekonomi dan kesihatan pesakit, mereka perlu mengubah mentaliti daripada rawatan dialisis kepada pemindahan organ.

"Dialisis adalah proses perubatan iaitu penyingkiran toksin dan sisa buangan daripada badan serta membantu mengekalkan keseimbangan bendalir dengan menapis darah melalui membran, yang seperti fungsi buah pinggang sihat.

"Selain itu mengurangkan kesan komplikasi buah pinggang kerana kerosakan organ," katanya.

RAWATAN dialisis dijalani pesakit buah pinggang tahap akhir.
RAWATAN dialisis dijalani pesakit buah pinggang tahap akhir.

Beliau menjelaskan, kesedaran pemindahan organ dalam kalangan rakyat Malaysia sangat rendah.

"Rekod pada 2021 dan tahun sebelumnya menunjukkan kebanyakan penderma organ dalam kalangan bukan Islam manakala penderma organ Islam rendah bilangannya.

"Tahun lalu, kita capai tujuh peratus penderma organ Islam selepas mengadakan beberapa program kesedaran bersama komuniti.

"Mufti sudah mengeluarkan fatwa hukum pendermaan organ adalah harus kerana hendak membantu pesakit memerlukan.

"Dalam konteks ini tiada penyeksaan terhadap jenazah kerana prosedur pemindahan organ dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:20 AM