WADI Rum.
WADI Rum.
Noor Hamizah Sahabudin


JORDAN antara negara yang kaya dengan tinggalan sejarah. Bentuk muka bumi yang unik menjadikan negara itu mempunyai pemandangan memukau.

Percutian enam hari lima malam penulis dan suami ke negara itu baru-baru ini untuk melawat tempat suami belajar dahulu iaitu di Al-Bayt University, Mafraq.

Sepanjang di negara teluk itu, kami bermalam di Amman Jordan empat hari sementara di Wadi Rum pula sehari.

Seandainya pelancong Malaysia ingin bercuti secara bersendirian atau kembara bag galas 'backpacker' boleh memilih bermalam di sekitar DownTown Amman.

Bukan sahaja pilihan tempat bermalam memenuhi bajet, malah kawasan boleh diakses dengan berjalan kaki.

Perkhidmatan ehailing seperti 'Uber' dan 'Careem' cukup mudah digunakan.

Saranan penulis berdasarkan pengamatan dan pengalaman suami yang pernah menjadi pelajar di situ, penggunaan teksi tidak digalakkan bagi mengelak kejadian ditipu dari segi caj tambang.

Seperti negara teluk lain seperti Mesir dan Iraq, semestinya tarikan utama kesan sejarah yang mana di Jordan memiliki satu tarikan dari tujuh keajaiban baru dunia.

Petra iaitu kota bersejarah dan arkeologi di Ma'an antara destinasi kami kunjungi.

Diisytihar sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Petra termasuk dalam senarai wajib dikunjungi.

Masih jelas tinggalan kerajaan Nabatean iaitu kerajaan Arab purba seperti dinding bangunan kotanya dipahat dengan kesenian yang cantik dan unik.

Kaum itu juga antara pelopor teknologi dahulu apabila menyaksikan pembinaan sistem pengairan luar biasa dan rumit memandangkan ia dibina di tengah-tengah padang pasir.

Ini membuktikan meskipun kaum itu wujud pada kurun keenam sebelum Masihi, mereka sudah menemui cara yang cekap untuk menyalurkan air ke tengah-tengah bandar menerusi pembinaan empangan dan takungan.

Destinasi lain yang tidak kurang menarik ialah Wadi Rum atau juga dikenali sebagai Lembah Bulan dalam kalangan orang Arab tempatan.

Wadi itu terletak di selatan Jordan dan berada 60 kilometer (km) ke timur Aqaba.

Reputasi wadi terbesar di Jordan itu turut melayakkan ia diwartakan sebagai tapak warisan Unesco.

Keluasan sekitar 74,000 hektar itu semestinya menampilkan ciri-ciri landskap padang pasir yang pelbagai, terdiri daripada gaung sempit, gerbang semula jadi, tebing yang menjulang tinggi, tanjakan, tanah runtuh besar dan gua.

Di kawasan ini juga pengunjung boleh menemui ramai Arab Badwi. Tidak hairanlah keindahan eksotik antara penarik dimiliki wadi terbabit menjadikannya pilihan sebagai tempat penggambaran banyak filem Hollywood seperti The Martian, Dune, Transformers: Revenge of Fallen, Lawrence of Arabia dan banyak lagi.

Pengalaman ketika di Wadi Rum terasa seperti berada di planet lain di angkasa lepas.

Penginapan di sini adalah pelbagai dan pengunjung boleh memilih sama ada ingin menginap di dalam khemah atau jenis 'bubble tent' iaitu khemah kembang lengkap dengan jakuzi.

Suasana malamnya juga cukup indah dan pengunjung berpeluang melihat taburan bintang.

Anda yang mahu mencipta momen romantis, mungkin destinasi ini boleh dijadikan lokasi sesuai untuk berbulan madu.

Satu lagi destinasi penulis ingin kongsikan ialah Jerash.

Tarikan lokasi terbabit ialah kesan runtuhan Kota Rom dan Byzantine yang indah, terbesar dan masih terpelihara dengan baik. Jerash terletak 48km dari Amman, 40km dari Irbid dan 38km dari Mafraq.

Berbanding 20 tahun lalu, kerajaan Jordan menaik taraf kemudahan pelancongan di Kota Jerash.

Pengunjung ke kota itu ini boleh menjelajah kawasan untuk membeli cenderamata dan kemudahan tandas yang bersih dan selesa.

Di dalam Jerash sendiri ada beberapa bahagian seperti South Theatre, Northern Theatre, Temple of Zeus, Temple of Artemis, Oval Plaza, Jerash Park dan banyak lagi. Semua binaan mempunyai keindahan menakjubkan.

Setiap kawasan pelancongan di Jordan mengenakan yuran kemasukan. Bagi yang merancang melancong tanpa menggunakan ejen pelancongan, mengambil 'Jordan Pass' lebih menjimatkan kerana dengan adanya pas ini, pengunjung boleh memasuki hampir keseluruhan tarikan pelancongan di negara ini (lebih kurang 40 tempat).

Harganya daripada 70 Dinar Jordan (JOD) (RM 461.30) sehingga 80JOD (RM527.22) bergantung kepada pakej dipilih.

Pengamatan penulis, Jordan bukan sahaja kaya dengan pemandangan indah, malah ia seperti 'terowong masa' apabila pelancong boleh melihat sendiri kaum atau masyarakat dahulu pernah wujud dan memiliki ketamadunan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 7:01 AM