LEBIH 2,000 pemilik Vespa meronda ibu kota. - FOTO Hazreen Mohamad
LEBIH 2,000 pemilik Vespa meronda ibu kota. - FOTO Hazreen Mohamad
Lizam Ridzuan


Sempena ulang tahun ke-78 Vespa, satu acara Hari Vespa Malaysia 2024 dianjurkan di The Landing, KL, Sungai Besi, dihadiri lebih 2,000 pemilik jenama skuter dari Itali itu.

  Acara kali ke-3 yang turut menghimpunkan Vespa daripada pelbagai model klasik sehingga moden itu dengan pembabitan pemilik dari serata Semenanjung Malaysia yang hadir bagi memeriahkan acara.

  Paling mencuri tumpuan ialah aktiviti konvoi mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur serta singgah di lokasi tumpuan utama seperti Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

  Jalan dipenuhi pelbagai model dan warna serta pelbagai fesyen ditampilkan oleh pemilik menambah keunikan acara berkenaan.

  Di tapak acara juga dipamerkan pelbagai model daripada 125cc hingga 300cc serta model tumpuan Vespa Sprint dan Primavera 2024 yang tampil dengan gaya rekaan klasik dan moden serta unik.

   Selain itu ada pelbagai acara permainan diadakan, selain gerai jualan barangan dan aksesori Vespa yang terkenal denga produk gaya hidup menarik.

  Persembahan di pentas utama juga tidak kurang 'happening' daripada band-band tempatan termasuk penampilan istimewa Sona One dan Gerhana Ska Cinta.

ACARA Hari Vespa Malaysia 2024 dianjurkan di The Landing KL di Sungai Besi. - FOTO Hazreen Mohamad
ACARA Hari Vespa Malaysia 2024 dianjurkan di The Landing KL di Sungai Besi. - FOTO Hazreen Mohamad

PELBAGAI model baharu dipamerkan. - FOTO Hazreen Mohamad
PELBAGAI model baharu dipamerkan. - FOTO Hazreen Mohamad

ACARA pertandingan Vespa terbaik diadakan. - FOTO Hazreen Mohamad
ACARA pertandingan Vespa terbaik diadakan. - FOTO Hazreen Mohamad

  Juga dianjurkan pertandingan Vespa dengan beberapa kategori seperti Best of GS, Best of VBB, Best of Super & Sprint, Best of P Series, Best of Custom Vespa dan banyak lagi.

  Acara ini juga mendapat kerjasama Vespa Club Malaysia dengan kehadiran hampir 500 ahli rasmi yang turut sama menjayakan acara tahunan ini yang mana tahun lalu diadakan di Johor Bahru, Johor.

  Presidennya Adi Syakri Ismail yang juga dikenali sebagai Sir Bedo berkata, acara kali ini berlangsung dengan meriah malah ada yang sanggup turun dari utara, selatan dan timur tanah air ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama pemilik yang lain dalam acara Vespa Day 2024.

  "Jutaan terima kasih kepada semua pemilik Vespa yang hadir dan sentiasa melihatkan komitmen yang tinggi dalam setiap acara yang membabitkan Vespa di serata negara," katanya.

   Acara tahun ini tambah istimewa dengan kehadiran tetamu khas iaitu Pengarah Urusan Piaggio Asia Pasifik, Simone Niccolai dan rakan-rakan dari negara lain yang juga sebagai pencinta skuter ikonik ini.

  Acara Vespa World Days 2024 diadakan di Pontedra, Itali pada April lalu dengan kehadiran ribuan pemilik Vespa dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:45 AM