HARUMAINI Omar. FOTO arkib NSTP
HARUMAINI Omar. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang dengan mengisytiharkan kerusi Batang Kali yang disandang Harumaini Omar dikosongkan.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, Suee Lim dalam sidang medianya sebelum ini membuat ketetapan bahawa Harumaini tidak hadir selama enam bulan bermula pada 28 Julai 2022 dan tamat pada 27 Januari 2023 menyebabkan kerusi itu dikosongkan.

Rafique menjelaskan, perkiraan enam bulan itu seharusnya bermula 23 November 2022 iaitu tarikh bermulanya Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022.

Katanya, DUN Selangor ke-14 pada 2022 telah memasuki penggal kelima dan sebanyak tiga mesyuarat diadakan.

"Mesyuarat pertama, 14 hingga 18 Mac 2022 dan 21 hingga 25 Mac 2022. Mesyuarat kedua, 25 hingga 29 Julai 2022 dan 1 hingga 5 Ogos 2022.

"Mesyuarat ketiga 23 hingga 25, 29 hingga 30 November, 1,2 dan 5 hingga 6 Disember 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Harumaini hadir pada mesyuarat kedua dan ketidakhadiran tanpa kebenaran hanya berlaku pada permulaan mesyuarat ketiga iaitu 23 November 2022.

"Tarikh luput enam bulan seperti mana Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 adalah pada 22 Mei 2023," ujarnya

Beliau turut memaklumkan bahawa Harumaini juga mengutus surat kepada Suee Lim bagi memohon pengisytiharan pengosongan DUN berkenaan ditarik-balik.

"Pejuang menyatakan hak kebebasan untuk hadir dan berbahas bagi rakyat di Dewan Negeri atau Dewan Rakyat adalah tunjang pada sistem Demokrasi Berparlimen.

"Malah dengan keadaan tidak menentu senario politik negara dan negeri serta pembubaran dewan yang boleh berlaku bila-bila tiada apa-apa prejudis jika YB Harumaini Omar dibenarkan terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali," katanya.

Rafique juga menggesa agar Suee Lim memberikan jawapan segera berkenaan perkara itu agar ia tidak dijadikan mainan politik semata-mata.

"Rakyat adalah pemegang taruh paling besar dalam demokrasi dan rakyat jugalah berada dalam posisi paling merugikan sekiranya politik terus menjadi mainan pihak tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 5:33 PM