SAKIT perut antara gejala intoleransi laktosa.
SAKIT perut antara gejala intoleransi laktosa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

INTOLERANSI laktosa adalah keadaan yang mana tubuh tidak dapat menyerap laktosa iaitu sejenis gula yang terdapat secara eksklusif di dalam susu dan produk tenusu.

Tubuh hanya dapat menyerap laktosa sudah dicerna dalam bentuk lebih ringkas iaitu glukosa dan galaktosa.

Proses pencernaan ini memerlukan tindakan enzim laktase. Ia terdapat pada sel di usus kecil. Kerosakan atau kecacatan pada dinding sel usus kecil boleh menjejaskan jumlah enzim laktase.

Memetik MyHealth Portal, intoleransi laktosa selalunya berkait dengan kekurangan enzim laktase di dalam tubuh.

Terdapat empat klasifikasi kekurangan enzim laktase yang perlu diketahui. Pertama ialah klasifikasi primer selain ia antara sebab utama intoleransi laktosa (ada kalanya dikenali sebagai intoleransi laktosa dewasa atau 'late onset.'

Kedua klasifikasi sekunder disebabkan kerosakan pada lapisan atas sel usus kecil menghasilkan laktase.

Ketiga ialah klasifikasi kongenital, keadaan ini dinamakan 'alactasia' yang mana ketiadaan enzim laktase itu berlaku sepanjang hayat.

Keempat adalah klasifikasi perkembangan. Keadaan ini berlaku pada bayi baru lahir pramatang.

Tidak banyak kajian dijalankan di Malaysia berkenaan intoleransi laktosa ini. Namun dalam dua kajian dilakukan di Malaysia, menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah intoleransi laktosa.

Ini selari dengan laporan dikeluarkan negara jiran menunjukkan Thailand mengalami 97 peratus intoleransi laktosa.

Manakala dianggarkan 70 peratus populasi dunia mengalami kekurangan enzim laktase.

Antara gejala intoleransi laktosa ialah berasa tidak selesa selepas mengambil susu dan produk tenusu. Gejala kelihatan seawal 30 minit hingga dua jam selepas pengambilan.

Gejala dihidapi mungkin dari tahap sederhana kepada teruk, berdasarkan kepada jumlah laktosa diambil dan kadar toleransi individu terhadap laktosa.

Sesetengah individu mungkin dapat bertoleransi terhadap laktosa lebih baik daripada individu lain.

Gejala sering dihidapi mereka mengalami intoleransi laktosa ialah sakit perut, kembung, cirit-birit berair, sendawa berlebihan, perut berangin, loya dan gatal sekitar dubur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:30 AM