ANTHONY merasmikan Arca Instalasi Sunnyside Up di MRT Pasar Seni. FOTO Fathil Asri
ANTHONY merasmikan Arca Instalasi Sunnyside Up di MRT Pasar Seni. FOTO Fathil Asri
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menetapkan laporan indeks prestasi utama (KPI) kepada pengurusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang terbuka kepada umum bagi menaik taraf sistem pengangkutan awam negara.

Menterinya Anthony Loke berkata, menerusi mesyuarat Kabinet, Prasarana diwajibkan membentangkan laporan mereka setiap minggu membabitkan perkhidmatan tren, bas, lif dan eskalator yang sudah dibaiki dan rosak.

"Semua laporan ini akan dibentang setiap minggu dan saya sudah melaksanakan perbincangan lanjut dengan Prasarana yang kita (Kementerian Pengangkutan) akan menetapkan beberapa KPI dan bakal diumumkan secara terbuka kepada semua pihak.

"Ini bertujuan untuk memantau prestasi Prasarana dan cabaran ini disambut baik pihak pengurusannya.

"Beberapa paramater akan ditetapkan dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat, saya akan umumkan bagaimana laporan ini akan dibentangkan setiap minggu," katanya ketika ditemui dalam Program Arts on the Move di Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, hari ini.

Loke berkata, salah satu KPI yang ditetapkan kepada Prasarana adalah berapa kekerapan kerosakan atau gangguan yang dihadapi penumpang.

"Ini mesti dibentangkan supaya kadar itu (kerosakan dan gangguan) dikurangkan berikutan berlaku hampir setiap bulan membabitkan sistem transit aliran ringan (LRT) dan MRT," katanya.

Sementara itu, menjawab isu mengenai penstrukturan semula tambang perkhidmatan e-hailing, Loke berkata, kerajaan sedang mencari jalan tengah untuk mewujudkan situasi menang-menang antara pemandu dan pengguna.

"Tambang e-hailing tidak dikawal selia oleh kementerian kerana kita membenarkan operasi bergantung kepada pasaran semasa.

"Bagaimanapun, menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) yang menerima aduan membabitkan pengguna yang tidak berpuas hati dengan tambang waktu puncak meningkat apabila menggunakan jarak berbanding masa.

"Sebelah pihak lagi iaitu pemandu e-hailing juga tidak berpuas hati struktur tambang mereka dikurangkan dari jarak kepada masa," katanya.

Menurutnya, kedua-dua pihak mempunyai pandangan tersendiri dan kerajaan akan membantu mencari keseimbangan bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Kerajaan perlu mencari 'balance', sebab pemandu e-hailing juga membuat aduan kerana pendapatan mereka berkurangan selepas penstrukturan tambang ini.

"Setakat ini kita belum membuat sebarang keputusan tambang berkenaan kerana ia bukan bawah seliaan kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 5:36 PM