MESSI (kiri) harap Di Maria jaringkan gol di final. FOTO AFP
MESSI (kiri) harap Di Maria jaringkan gol di final. FOTO AFP
Reuters

Miami: Kapten Argentina, Lionel Messi, berharap penyerang Angel Di Maria akan menamatkan karier antarabangsa dengan satu jaringan dalam final Copa America esok pagi menentang Colombia.

Di Maria, 36, mengumumkan pada bulan November bahawa dia merancang untuk bersara daripada perringkat antarabangsa selepas mewakili negara selama 15 tahun.

Messi berharap Di Maria akan mencetak gol seperti yang dilakukannya ketika menentang Brazil untuk meraih gelaran benua pada tahun 2021 dan menentang Perancis ketika mereka memenangi final Piala Dunia 2022.

"Siapa tahu, mungkin dia akan menjaringkan gol lagi dalam final seperti yang dilakukan dalam semua perlawanan sebelumnya yang dia mainkan. Ia akan menjadi luar biasa," kata Messi dalam wawancara dengan Direct TV Sports, sambil menambah bahawa pasukan masih berharap Di Maria akan membatalkan keputusannya.

"Kami selalu memberitahunya bahawa jika semuanya berjalan dengan baik, kami akan mempunyai perlawanan playoff yang akan datang. Bagaimanapun, 'Fideo' (Di Maria) sudah membuat keputusan dan tiada apa yang boleh mengubahnya."

Di Maria menjaringkan 31 gol dalam 144 penampilan untuk Argentina, bermain dalam enam Copa America dan empat Piala Dunia.

Dia juga menjaringkan gol kemenangan ketika Argentina menang 1-0 ke atas Nigeria untuk meraih emas Olimpik di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 9:27 AM