Siti Nuratika tiada modal untuk membuka semula gerai pisang dan cempedak goreng di  Bukit Mutiara, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. FOTO Ihsan Siti Nuratika Mohd Suhaimi
Siti Nuratika tiada modal untuk membuka semula gerai pisang dan cempedak goreng di Bukit Mutiara, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. FOTO Ihsan Siti Nuratika Mohd Suhaimi
Redzuan Muharam


Johor Bahru: "Saya tak tahu macam mana nak berniaga semula kerana tiada duit untuk buat modal.

"Buntu dibuatnya tambahan saya mengandung jadi agak tertekan memikirkannya,"

Itu luahan orang kurang upaya (OKU) bisu dan pendengaran, Siti Nuratika Mohd Suhaimi, 30, yang sedih mengenangkan nasibnya apabila mengalami kesempitan wang hingga tidak dapat membuka gerai pisang dan cempedak goreng di Bukit Mutiara, Bandar Dato' Onn di sini buat masa ini.

Lebih menyedihkan Siti Nuratika apabila perniagaan itu satu-satunya sumber pendapatannya dan suami, Zulkifli Ainul Mokhsein, 36 yang juga OKU bisu dan pendengaran untuk membesarkan tiga anak mereka iaitu Muhammad Arris, 8, Nuraqilah serta Ainul Haqiem,3.

Menurut Siti Nuratika, kandungannya pula sudah berusia tujuh bulan, tetapi tiada persediaan dibuat untuk menyambut anak keempatnya kerana kesempitan hidup.

"Tak mudah nak berniaga dan cari duit dalam keadaan saya dan suami yang kedua-duanya OKU.

"Tapi mengenangkan tanggungjawab membesarkan anak, kami usaha juga cari rezeki kerana bantuan Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjumlah RM850 memang tak cukup dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Jadi mahu atau tidak kena keluar bekerja cuma jualan sebelum ini merosot sampai tak balik modal dan kini tiada duit.

"Dua bulan lagi, saya nak bersalin tapi kelengkapan bayi pun belum beli lagi kerana tak mampu," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Siti Nuratika mengakui tidak berapa larat untuk berdiri lama dalam keadaan perutnya yang semakin membesar.

Bagaimanapun, dia tiada pilihan melainkan membantu suami jika ada rezeki membuka semula gerai kerana tiada duit untuk mengupah pekerja.

"Kami nak makan pun susah, inikan pula nak ambil pekerja.

"Jadi walaupun tak tahan berada lama digerai tapi saya kena kuatkan diri juga untuk berniaga.

"Cuma tak tahu bila ada rezeki buka semula gerai. Jika diizinkan Allah SWT untuk berniaga semula, saya mohon orang ramai yang ada di kawasan berhampiran datang ke gerai kami.

"Jika tak beli banyak, sedikit pun memadai tanda sokongan kerana sebelum ini kami tiada wang sampai tahap pinjam orang demi nak beli lampin pakai buang untuk anak," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghantar kiriman WhatsApp ke Siti Nuratika di talian 019-8968525 atau suaminya, Zulkifli di nombor 013-742 8343.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:31 AM