BARBORA mengucup trofi Wimbledon selepas mengalahkan Jasmine di final. FOTO AFP
BARBORA mengucup trofi Wimbledon selepas mengalahkan Jasmine di final. FOTO AFP
Reuters

London: Sebagai seorang pemain tenis cilik berusia 12 tahun, Barbora Krejcikova pernah mencatatkan cita-citanya untuk memenangi Terbuka Perancis dalam buku catatannya.

Tiga tahun lalu dia mencapai matlamat berkenaan, namun dia mengisytiharkan 13 Julai 2024 sebagai hari terbaik dalam hidupnya selepas memenangi trofi Wimbledon - sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam impian kanak-kanaknya.

Kemenangan 6-2, 2-6, 6-4 ke atas Jasmine Paolini memastikan pemain berusia 28 tahun itu menjadi pemain Republik Czech terbaharu mengangkat Venus Rosewater Dish, mengikuti jejak Petra Kvitova, Marketa Vondrousova, dan mentor lamanya, Jana Novotna.

"Memang seronok memenangi mana-mana kejohanan besar. Namun, memenangi Wimbledon adalah sesuatu yang sangat besar bagi saya," kata Barbora, yang sebak ketika melihat nama Jana pada dalam senarai pemenang.

"Saya tidak boleh katakan ia adalah impian saya semasa kecil. Saya ada sebuah buku catatan yang saya tulis ketika berusia 12 tahun. Saya tidak tahu, mungkin tiga atau empat bulan lalu, saya melihat kembali buku catatan itu.

"Dalam buku itu saya catatkan bahawa pada masa depan... saya ingin memenangi Terbuka Perancis... Mungkin pandangan saya sedikit berubah apabila saya bertemu Jana dan mendengar ceritanya mengenai Wimbledon, gelanggang rumput, betapa sukarnya untuknya memenangi gelaran dan betapa emosional dia ketika berjaya.

"Sejak itu saya mula melihat Wimbledon sebagai kejohanan terbesar di dunia."

Jana, yang meninggal dunia pada 2017 selepas bertarung dengan kanser, pernah memenangi hati peminat apabila dia menangis di bahu Duchess of Kent semasa majlis penyampaian trofi selepas kalah kepada Steffi Graf dalam final 1993, di mana dia melepaskan kelebihan mendahului 5-1 dalam set penentuan.

Dia juga menjadi simbol ketabahan di Wimbledon kerana dia juga kalah dalam final 1997 sebelum akhirnya meraih gelaran setahun kemudian.

"Saya rasa dia akan memberitahu saya bahawa dia sangat bangga dengan saya dan dia sangat gembira," tambah Barbora, yang mula bekerja dengan Jana pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:18 AM