DONALD Trump dibantu ejen perkhidmatan rahsia selepas insiden tembakan ketika sedang berkempen di Butler, Pennsylvania. FOTO Reuters
DONALD Trump dibantu ejen perkhidmatan rahsia selepas insiden tembakan ketika sedang berkempen di Butler, Pennsylvania. FOTO Reuters
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengutuk insiden tembakan yang mencederakan pesaingnya, Donald Trump, dalam satu perhimpunan di Pennsylvania pada Sabtu yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya seorang penonton terbunuh.

Pemimpin politik dari kedua belah pihak mengutuk kekerasan itu beberapa minit selepas calon Republikan itu dibawa meninggalkan pentas oleh ejen Perkhidmatan Rahsia, dengan darah mengalir di mukanya.

Biden dalam satu kenyataan sejurus kejadian berkata, beliau bersyukur selepas mengetahui Trump selamat dan sihat.

"Saya mendoakan beliau dan keluarganya serta semua yang berada di perhimpunan itu, sementara kami menunggu maklumat lanjut.

"Saya dan Jill berterima kasih kepada ejen Perkhidmatan Rahsia kerana membawanya ke tempat yang selamat.

"Tiada tempat untuk keganasan seperti ini di Amerika. Kita mesti bersatu sebagai satu negara untuk mengutuknya," kata Biden.

Sementara, Barack Obama dalam kenyataan di X, berkata, "tiada tempat sama sekali untuk keganasan politik dalam demokrasi kita"

"Walaupun kita belum tahu dengan tepat apa yang berlaku, kita semua harus berasa lega bekas Presiden Trump tidak dicederakan secara serius.

"Gunakan masa ini untuk menunjukkan rasa hormat terhadap politik kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 9:37 AM