DE La Fuente (tengah) mahu anak buahnya mula cipta sejarah di usia muda. FOTO AFP
DE La Fuente (tengah) mahu anak buahnya mula cipta sejarah di usia muda. FOTO AFP
AFP

Berlin: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, menyeru kepada generasi 'cemerlang' pemainnya untuk mencipta sejarah negara mereka dalam final Euro 2024 menentang England pagi Isnin ini.

La Roja sedang berusaha untuk meraih kejuaraan Eropah keempat mereka, 12 tahun selepas kali terakhir mereka mengangkat trofi itu.

Dengan Rodri Hernandez mengendalikan permainan di tengah padang dan sayap muda yang bertenaga, Lamine Yamal dan Nico Williams, Sepanyol menjadi pasukan yang paling menghiburkan sepanjang perjalanan mereka ke Berlin.

"Ini adalah generasi yang cemerlang, ramai daripada mereka melalui tahap kejayaan dalam sukan di usia muda dan itu biasanya menandakan kejayaan yang baik," kata De la Fuente kepada wartawan.

"Kami mahu mula mencipta sejarah – dan kami sudah pun mencipta sejarah dalam perjalanan ke (final)... Saya percaya pada masa depan yang hebat, ada masa kini dan masa akan datang."

Sepanyol memenangi Euro 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010 dengan banyak pemain bintang dari Barcelona dan Real Madrid, termasuk Andres Iniesta, Xavi Hernandez, Sergio Ramos dan David Villa.

Skuad semasa mungkin mempunyai kurang bintang, tetapi mereka menganggap ini sebagai kekuatan mereka, dengan semangat bersatu dalam pasukan menjadi kata kunci dalam kalangan pemain Sepanyol sepanjang kejohanan ini.

Walaupun Sepanyol bersinar sepanjang perjalanan ke final manakala England terpaksa bergelut, De la Fuente mengatakan bahawa pertembungan di Olympiastadion akan 'amat seimbang'."

"Pasukan yang berjaya menguatkuasakan kekuatan mereka, siapa yang membuat kurang kesilapan (akan menang)," kata jurulatih itu.

"Tetapi anda boleh menang dalam satu perlawanan, walaupun bermain jauh lebih teruk (daripada lawan anda).

"Kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya, tidak membuat sebarang kesilapan dan mengambil peluang yang ada – manfaatkan setiap peluang."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:27 AM