LELAKI ditemukan lemas selepas tergelincir  ketika mancing di Pantai Bagan Lalang,Sepang semalam. FOTO Ihsan JBPM.
LELAKI ditemukan lemas selepas tergelincir ketika mancing di Pantai Bagan Lalang,Sepang semalam. FOTO Ihsan JBPM.
Samadi Ahmad


Sepang: Lelaki yang dilaporkan terjatuh ketika memancing di Pantai Bagan Lalang, di sini ditemukan lemas semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan daripada orang awam pada 5.16 petang memaklumkan mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam laut.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berusia 27 tahun memancing bersama anak saudaranya berusia 25 tahun, pada 5 petang.

Katanya, operasi menyelamat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan mayat mangsa ditemui jam 6 petang.

"Mayat mangsa ditemui terapung berhampiran muara Bagan Lalang oleh nelayan yang melalui kawasan itu," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 9:09 AM