Ka Siong melihat kerja-kerja pembaikan eskalator di Stesen LRT Ampang Park yang viral kerana kerap rosak dan menyusahkan pengguna terutama dari golongan OKU. FOTO FATHIL ASRI.
Ka Siong melihat kerja-kerja pembaikan eskalator di Stesen LRT Ampang Park yang viral kerana kerap rosak dan menyusahkan pengguna terutama dari golongan OKU. FOTO FATHIL ASRI.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Syarikat pengangkutan e-hailing diminta mengemukakan alasan kepada pengguna perkhidmatan itu sekiranya berlaku kenaikan harga sehingga membebankan orang ramai.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setakat ini belum ada kesahihan berhubung perkara itu, bagaimanapun kementeriannya akan memanggil pengendali e-hailing untuk menjawab aduan pengguna.

"Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak.

"Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat.

"Sebagai pembuat dasar, kita tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan," katanya dalam sidang media selepas melawat lif dan eskalator di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, di sini, hari ini.

Wee berkata, mana-mana syarikat e-hailing perlu menerangkan justifikasi jika berlaku kenaikan harga kerana pihaknya melihat daripada sudut pengguna.

"Kenapa sebelum ini tidak berlaku (kenaikan harga), saya rasa ini antara soalan yang relevan dikemukakan rakyat, saya sudah minta supaya perkara ini diterangkan.

"Saya minta APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) tengok balik dan minta syarikat ini terangkan dan jelaskan kenapa kenaikan harga berlaku.

"Saya jangka sehari dua ini, syarikat ini patut terangkan kepada rakyat barulah kita lihat dasar apa yang perlu kita buat seperti menggalakkan lagi persaingan supaya harga akan turun," katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengemukakan alasan sekiranya berlaku kenaikan harga contohnya disebabkan kesesakan.

"Kita nak dengar sebab mereka, mungkin disebabkan kesesakan, tetapi takkan dulu tak sesak, kenapa sekarang baru sesak.

"Bagaimanapun, kita dengar, jadi saya rasa mereka juga rasa terpanggil dan terangkan sebab, sama ada diterima atau tidak," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pengguna pengangkutan e-hailing terutama golongan berpendapatan rendah B40 mengakui mereka berdepan dengan isu kenaikan harga tambang perkhidmatan itu yang agak membebankan.

Rata-rata pengguna mengeluh dengan kenaikan mendadak perkhidmatan itu dan mahu kerajaan mengambil langkah drastik kepada pengendali e-hailing berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 5:26 PM