Anwar Ibrahim (dua dari kiri) menjawab pertanyaan media selepas hadir pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim (dua dari kiri) menjawab pertanyaan media selepas hadir pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan kepada negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lalu sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Anwar berkata, beliau pada mulanya enggan ke negara terbabit kerana kekangan tugas, namun mempertimbangkannya sana atas rayuan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

"Mulanya saya enggan, sebab Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dah hantar, hospital pun dah buka, namun atas semangat persahabatan, saya buat keputusan untuk ke sana," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pemergian sehari ke Turkiye akan disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Persidangan Parlimen, Anwar berkata, beliau dihubungi dua kali oleh Erdogan yang meminta dirinya ke Turkiye.

"Saya pertimbangkan akan terbang ke sana malam ini untuk memberi sokongan moral, saya telah diminta Presiden untuk segera ke sana," katanya.

Sehingga semalam dilaporkan bilangan kematian di Turkiye mencecah 31,643 orang dan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:52 PM