BERNAMA

Istanbul: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, malam tadi untuk lawatan kerja dua hari ke Turkiye dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, hari ini.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 10.45 malam waktu tempatan (3.45 pagi Ahad waktu Malaysia)

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal, Menteri Penasihat dari Kedutaan Besar Malaysia di Ankara Clara Soon May Lynn dan Ahmad Hashim Mahmood, serta Atase Pertahanan Malaysia Kolonel Mohd Edafi Daud.

Menyambut ketibaan bagi pihak Turkiye ialah Timbalan Gabenor Istanbul Şevket Atlı, Komander Gendermarie Kol Mesut Maden dan Ketua Jabatan Pejabat Kementerian Luar Istanbul Mehmet Zait Uzun.

Antara topik yang dijadual dibincangkan dengan Erdogan ialah mengenai kebimbangan isu Israel-Palestin yang semakin meningkat.

Pertempuran di Palestin baru-baru ini yang membabitkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel, mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban sejak 7 Oktober.

Selepas pertemuannya dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Gaza.

Anwar baru sahaja menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan buat pertama kali sejak kedua-dua blok serantau itu menjalin hubungan pada 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 9:01 AM