Ahmad Zaini Kamaruzzaman

New York: Malaysia dan Turkiye mencapai kesepakatan untuk menangani ancaman Islamofobia menerusi pelbagai langkah yang sedang dan akan dilaksanakan.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan bersetuju mempertingkat usaha kerjasama dan strategi mengekang gerakan membenci Islam oleh pihak tertentu yang berpusat di serata dunia.

Turkiye akan melaksanakan strategi di lokasi kegiatan yang berpusat di Eropah dan Timur Tengah, manakala Malaysia di kawasan Asia.

Langkah kerjasama itu dicapai dalam perbincangan ketika pertemuan dua hala dua pemimpin berkenaan sempena Perhimpunan Agung Pertumbuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) ke-78.

Anwar berkata, sikap melampau dan prasangka mengenai apa sahaja terhadap Islam di Barat dan negara lain perlu ditangani.

"Kita berbincang (dalam pertemuan hari ini). Ada beberapa siri persidangan dianjurkan (sebelum ini) dan akan diteruskan," katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di PBB di sini.

Pertemuan dua pemimpin berkenaan diadakan di Rumah Turkiye yang menempatkan pejabat Perwakilan Tetap negara itu.

Anwar juga berkata, isu sama akan dibincangkan dalam lawatan Erdogan ke Malaysia yang dirancang hujung Disember berdasarkan tarikh bersesuaian dengan atur cara Yang di-Pertuan Agong.

"Antara isu yang akan diberi penekanan ialah usaha mengadakan lebih banyak pertemuan supaya ada kesepakatan antara negara (bagi menangani ancaman Islamofobia)," katanya.

Anwar juga menjelaskan sememangnya ada persidangan dan penerangan diberikan, penerbitan untuk menjawab (prasangka dan sikap melampau terhadap Islam) kepada masyarakat dunia.

"Antaranya, kita menerbitkan lebih 100,000 al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Sebanyak 15,000 naskhah terjemahan bahasa Sweden dihantar ke negara berkenaan.

"Ia disebarkan ke pusat pengajian, universiti dan masjid. Juga ke Australia, Amerika Syarikat dan negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 8:02 AM
ANWAR (kiri) bersalam dengan Erdogan ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) ke-78. FOTO BERNAMA
ANWAR (kiri) bersalam dengan Erdogan ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) ke-78. FOTO BERNAMA