PASUKAN SMART dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye. FOTO Ihsan NADMA.
PASUKAN SMART dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye. FOTO Ihsan NADMA.
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Turkiye berjaya menemukan tiga mangsa yang terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan tujuh tingkat, hari ini.

Pasukan dikenali sebagai MAS-01 SMART di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu berusaha mengeluarkan mangsa bencana gempa bumi yang membabitkan lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak.

Selepas berhempas pulas selama dua jam menggunakan peralatan khas, pasukan MAS-01 SMART berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa, namun malangnya mereka sudah meninggal dunia.

"Pasukan MAS-01 SMART NADMA telah diatur gerak ke satu lokasi bangunan tujuh tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep. Dipercayai tiga mangsa telah terperangkap di runtuhan ini.

"Setelah dua jam menggunakan peralatan khas, pasukan telah berjaya menjumpai tiga mangsa iaitu satu lelaki, satu perempuan dan satu kanak-kanak.

"Semua mangsa yang ditemui telah pun meninggal dunia. Salam takziah," kata NADMA dalam kemas kini ringkas di Facebook, hari ini.

ANGGOTA SMART membawa keluar mangsa yang diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Turkiye. FOTO Ihsan NADMA.
ANGGOTA SMART membawa keluar mangsa yang diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Turkiye. FOTO Ihsan NADMA.

Hantaran mengenai perkembangan terkini gerak kerja pasukan SMART di 'ground zero' gempa bumi itu turut disertakan bersama gambar dan video, menunjukkan beberapa anggota membawa keluar mayat mangsa runtuhan berkenaan.

Pasukan SMART berada di Gaziantep sejak semalam untuk misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi, dengan kerja di kawasan ground zero dimulakan oleh 70 pegawai dan anggota pasukan pertama SMART selepas diterbangkan ke Turkiye, Isnin lalu.

Malaysia turut mengerahkan pasukan kedua misi SAR, yang berlepas ke Turkiye malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kumpulan kedua disertai 70 pegawai dan anggota terdiri daripada 20 anggota SMART, 30 anggota JBPM dan 21 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda Kahramanmaras, wilayah selatan Turkiye, pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu, yang turut menjejaskan beberapa kawasan di Syria.

Angka korban akibat gempa bumi itu sudah mencecah lebih 16,000 mangsa. Seranai 12,873 mangsa terkorban di selatan Turkiye, manakala 3,162 maut di Syria, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban dalam gempa kuat itu kini seramai 16,035.

KERJA menyelamat dilakukan anggota SMART. FOTO Ihsan NADMA.
KERJA menyelamat dilakukan anggota SMART. FOTO Ihsan NADMA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 11:02 PM