Aizat Sharif

Kangar: "Mengeluarkan mayat wanita hamil di balik timbunan runtuhan bangunan kediaman di Nurdagi, Gaziantep adalah pengalaman menyayat hati yang tidak dapat saya lupakan sepanjang bertugas di Turkiye tempoh hari," kata Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Shahidan Abd Razat, 34.

Dia yang bertugas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis antara 140 Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia Khas (Smart) yang dihantar membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) gempa bumi melanda Turkiye pada awal Februari lalu.

Menurut anak jati Kuala Kangsar itu, ketika SAR itu, suami kepada wanita terbabit meraung kesedihan selepas pasukan penyelamat mengesahkan kematian isterinya itu.

"Situasi itu agak tegang namun ia benar-benar menyayat hati saya, dan mujurlah situasi itu dikawal oleh polis dan tentera Turkiye yang berjaya mententeramkan keadaan.

"Walaupun terkesan dengan situasi itu, kami sebagai anggota penyelamat harus sentiasa profesional dan menjalankan tugas tanpa diselubungi dengan perasaan atau sentimen yang mampu menggugat penugasan kami," katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tahunan JBPM Perlis di sini, hari ini.

MOHAMAD Shahidan menunjukkan lencananya sebagai anggota STORM Malaysia yang menjadi salah seorang daripada 140 anggota SMART Malaysia menjalankan tugas SAR mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye. FOTO Aizat Sharif

Mengenai tugasan di Turkiye, Mohamad Shahidan berkata, dia menerima panggilan untuk melapor diri ke Markas Smart, Kuala Lumpur pada 8 Februari lalu sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye pada hari yang sama.

Di Turkiye, katanya, selain 'berperang' dengan masa untuk menyelamatkan mangsa gempa bumi, mereka juga berdepan cuaca yang agak sejuk.

"Selepas tiba di Istanbul, kami menaiki satu lagi penerbangan selama dua jam ke Gaziantep kerana kawasan itu adalah lokasi ground zero.

"Kami 'dicabar' dengan suhu cuaca yang terlalu ekstrem. Pada waktu tengah hari saja, suhu sekitar empat hingga enam darjah celsius sahaja dan menurun antara -10 hingga -12 darjah celsius pada sebelah malam," katanya.

Begitu pun, Mohamad Shahidan bersyukur dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan negara dengan baik dan sempurna sepanjang 15 hari di sana.

"Smart Malaysia berjaya membawa keluar 50 mangsa gempa bumi itu dan daripada jumlah itu lima daripadanya ditemui masih hidup," katanya yang sudah 16 tahun berkhidmat bersama JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 2:01 PM
MOHAMAD Shahidan tetap cekal bersama 140 anggota SMART Malaysia menjalankan tugas SAR mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye pada awal Februari lalu dimana 50 mangsa gempa bumi berjaya ditemui dan dikeluarkan dan lima daripadanya adalah mangsa yang masih hidup. FOTO Ihsan JBPM Perlis