PASUKAN MAS-01 SMART, Nadma meneruskan operasi di worksite bangunan 7 tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep. FOTO Ihsan FB Nadma.
PASUKAN MAS-01 SMART, Nadma meneruskan operasi di worksite bangunan 7 tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep. FOTO Ihsan FB Nadma.
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Pasukan Penyelamat Malaysia (MAS-01) yang melaksanakan misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye, menemui lima lagi mayat mangsa runtuhan.

Kelima-lima mangsa itu terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan kesemua mangsa ditemui dalam pencarian di kawasan bangunan tujuh tingkat, Nurdagi, Gaziantep.

"Dalam operasi pencarian ini pasukan MAS-01 menggunakan kaedah 'cutting & breaking' menggunakan peralatan khas pasukan SMART.

"Operasi amat rumit dan berbahaya memandangkan struktur tidak stabil dan kesemua mangsa yang ditemui telah meninggal dunia," katanya dalam laman rasmi Facebook Nadma.

PASUKAN MAS-01 SMART, Nadma meneruskan operasi di worksite bangunan 7 tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep. FOTO Ihsan FB Nadma.
PASUKAN MAS-01 SMART, Nadma meneruskan operasi di worksite bangunan 7 tingkat yang runtuh di Nurdagi, Gaziantep. FOTO Ihsan FB Nadma.

MAS-01 yang terdiri daripada Pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan anggota dari Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah melaksanakan misi mencari dan menyelamat sejak semalam (9 Februari) selepas tiba di Nurdagi, kelmarin.

Semalam, MAS-01 menemui tiga mayat mangsa runtuhan gempa bumi membabitkan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada 6 Februari lalu manakala pasukan kedua iaitu MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan SMART, berlepas pada malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 9:37 PM