ZAMBRY bersama Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel bersalaman dengan anggota SMART yang terbabit misi SAR gempa bumi di selatan Turkiye.  FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ZAMBRY bersama Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel bersalaman dengan anggota SMART yang terbabit misi SAR gempa bumi di selatan Turkiye. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang dilapor berada dalam kawasan gempa bumi di tenggara Turkiye pagi tadi selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya percaya semua individu terbabit adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan.

"Kita sedang mendapatkan maklumat selanjutnya dari Kedutaan Malaysia di Turkiye berkaitan keadaan dan situasi semua individu itu.

"Namun berdasarkan maklumat awal kita peroleh, mereka berada dalam keadaan selamat sebelum keadaan sebenar dapat diketahui dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Zambry berkata, setakat ini, pihak berkuasa Turkiye memaklumkan hanya aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) digunakan untuk berkomunikasi dengan semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

"Kita berharap semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas untuk mengikuti segala arahan pihak berkuasa negara berkenaan untuk terus berwaspada dan mengikuti maklumat dan arahan semasa yang dikeluarkan," katanya.

Katanya, Wisma Putra sentiasa memantau sebarang situasi membabitkan rakyat Malaysia dari semasa ke semasa menerusi Kedutaan Malaysia di Turkiye

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia menghantar 70 pegawai dan anggota daripada tiga agensi keselamatan dan kecemasan bagi membantu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Turkiye.

Pegawai dan anggota terbabit membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART); Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Menyelamat (JBPM) dan Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mereka ditugaskan untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa bencana, di 10 wilayah yang terjejas di negara itu.

"Untuk peringkat awal, tumpuan kita adalah membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas. Pasukan kita juga membawa 10 tan peralatan bantuan kecemasan untuk operasi ini.

"Wisma Putra akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kedutaan Malaysia di Turkiye dan Kedutaan Turkeye di Malaysia, bagi menyelaraskan bantuan yang diperlukan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 11:32 PM