LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedutaan Turkiye mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas bantuan segera menghantar Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia Khas (SMART) bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat susulan gempa bumi maut yang melanda Turkiye negara itu semalam.

Kedutaan itu berkongsi hantaran di Twitter berserta beberapa gambar dan video penghantaran anggota SMART ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Pasukan elit SMART seramai 70 orang yang terbabit dalam misi itu terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Perubatan Diraja, Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan pasukan khas bahan kimia berbahaya.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam bencana itu. Kesemua 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas selamat, menurut kementerian itu.

Media Turki melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 yang lain cedera di 10 wilayah Türkiye setakat ini berikutan dua gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah selatan negara itu Isnin.

Gempa bumi kuat itu, dengan pusat gempa di daerah Pazarcik, turut memusnahkan negara jiran Syria dengan hampir 1,300 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 2,400 yang lain cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 9:01 AM