Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Bernama.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia mengucapkan takziah dan bersimpati dengan tragedi gempa bumi yang melanda tenggara Turkiye awal pagi tadi waktu tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau menyampaikan ucapan takziah itu kepada kerajaan dan rakyat Turkiye melalui panggilan telefon dengan rakan sejawatnya, Mevlut Cavusoglu, hari ini.

Katanya, melalui panggilan telefon itu, beliau sempat bertanyakan maklumat dan perkembangan terkini keadaan di negara berkenaan.

"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul akan terus memantau rapat perkembangan susulan kejadian gempa bumi itu.

"Setakat ini, tragedi berkenaan mengakibatkan sebanyak lebih 900 kematian.

"Ketika ini, saya mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dengan gempa bumi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zambry berkata, sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap nasib melanda rakyat Turkiye, sepasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan diterbangkan ke Istanbul pada 11.50 malam ini bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada masa sama, beliau berkata, berikutan gegaran susulan dijangka berlaku, rakyat Malaysia yang berada di Turkiye dinasihatkan untuk kekal berwaspada dan mengikuti perkembangan muktahir serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di negara berkenaan.

Zambry turut menggesa rakyat Malaysia di negara berkenaan untuk mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Ankara atau di Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul.

Kedutaan Besar Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +(90) 312 4463547/ 48 atau di talian +(90) 534 4571006 (selepas waktu pejabat).

Ia juga boleh dihubungi melalui emel [email protected].

Wisma Putra berkata, Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul boleh dihubungi melalui talian +(90) 212 9891001/ 09 atau +(90) 551 7112174 (selepas waktu pejabat) serta melalui emel [email protected].

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan tenggara Turkiye hari ini.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan gempa bumi berlaku pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran yang menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 7:18 PM