Gambar fail menunjukkan Ti (empat kiri) bersama Pegawai Khas Menteri Pengangkutan Datuk Andrew Wong Kean Hwee (tiga kiri) dan Ketua Wanita, MCA Kuantan, Tee Choon Ser (dua kiri) ketika perjumpaan khas bersama ahli MCA di Pejabat MCA Kuantan baru-baru ini. FOTO Farizul Hafiz Awang

Gary Mark Nagan

MCA komited untuk kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan tiada perancangan meninggalkan parti itu kata jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Ti berkata, kelangsungan BN kini bergantung kepada kepimpinan baharu yang dibentuk selepas pemilihan parti komponen.

“MCA akan kekal bersama BN buat masa ini. Kita kini kembali ke zaman (parti) Perikatan di mana UMNO, MCA dan MIC berkhidmat sebagai jambatan merapatkan jurang antara kaum di negara ini.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya baru-baru ini, kerana masih banyak masa untuk mengatur gerak langkah seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, BN perlu kekal bersatu dan tidak bertelagah sesama sendiri kerana gabungan berkenaan sudah terbukti mencipta pelbagai kejayaan sejak sekian lama.

“Dalam situasi ini, kita perlu menahan diri dan bersabar serta mengambil langkah yang bijak untuk maju ke hadapan.

“Kita tidak perlu merobohkan rumah hanya kerana terdapat atap yang bocor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 7:12 PM