Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled Nordin.
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Pemecatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil daripada jawatannya itu dibuat pucuk pimpinan parti bagi mengawal tindak tanduk seorang ahli yang disifatkan sudah melampaui batas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia perlu bagi memastikan tiada mana-mana ahlinya yang bertindak sesuatu sehingga mengganggu gugat parti.

Beliau berkata, banyak cara atau pendekatan lain yang boleh diambil Isham jika ingin mengkritik atau menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap parti apatah lagi dengan jawatannya sebagai ahli MKT.

"Itu soal disiplin. Mana-mana ahli parti dalam mana-mana parti pun, terutamanya Umno sebagai sebuah parti yang besar, kita perlu pastikan tidak berlakunya tindak tanduk seseorang ahli yang menggugat parti atau yang bercakap sesuka hati.

"Jika dia (Isham) 'cross the line', MKT berpendapat ada banyak cara dan banyak pendekatan (saluran yang betul untuk digunakan), lebih-lebih lagi dia seorang ahli MKT.

"Jadi, perlulah parti ini mengawal tindak tanduk, kalau tidak, semua orang jadi macam dia, tentu parti bermasalah, jadi ia hanya soal mengurus disiplin ahli-ahli dalam parti," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perancangan Pembangunan Daerah Kota Tinggi antara Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di MDKT di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pemecatan Isham selepas Mesyuarat MKT Umno Rabu lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Kelmarin.

"Saya percaya, sebagai Menteri Besar yang juga menjadi Pengerusi Perhubungan Umno perlu diimbangi dan perlu pastikan parti dapat terus memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan dan kerajaan dapat menterjemahkan segala hasrat serta aspirasi parti.

"Ini supaya perkara yang diperjuangkan parti dapat dijadikan sebagai asas dan dasar dalam kerajaan boleh terus diterjemahkan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan pelantikan Onn Hafiz kerana pemilihan jawatan itu adalah hak dan budi bicara presiden parti.

"Memanglah wajar, selama ini di Johor siapa yang menjadi Menteri Besar dia sepatutnya juga ambil tanggungjawab untuk menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

"Dulu, selepas beberapa bulan saya menjadi Menteri Besar Johor, baharu saya ambil alih menjadi Pengerusi Perhubungan Negeri.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, saya menjadi Pengerusi Perhubungan kerana saya menang pemilihan, manakala Onn Hafiz tidak duduk dalam MKT, jadi saya tahu saya sebagai Pengerusi Perhubungan itu hanya sementara sehingga presiden parti rasa sudah sesuai untuk Menteri Besar menjadi pengerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 2:07 PM