KHALED Norin menyempurnakan Program UPSI 'Smart Home Schooling Tuitoin' Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023. FOTO Izz Laily Hussein
KHALED Norin menyempurnakan Program UPSI 'Smart Home Schooling Tuitoin' Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Barisan Nasional (BN) berkeyakinan gabungan calon berpengalaman dan baharu dapat menguatkan parti itu berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan depan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sudah pasti akan meletakkan calon yang diyakini dapat memberikan kemenangan apabila adanya pilihan raya.

"Kita mempunyai keyakinan terhadap perjuangan kita dan kita sedar apa yang hendak kita lakukan. Atas sebab itulah kita meletakkan calon-calon di 107 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di enam negeri.

"Insya-Allah, banyak kawasan (Dun) itu kita sudah ada pengalaman, ada yang memang kita tahu mudah menang, tetapi ada juga yang kita bakal hadapi tentangan.

"Namun, itulah hakikat politik apabila berdepan dalam pilihan raya dan seperti biasa mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya mesti nak menang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program UPSI 'Smart Home Schooling Tuition' Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan isteri dan anak bekas Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pada PRN akan datang, Mohamed Khaled berkata, mereka dipilih atas dasar jawatan masing-masing bukan soal calon anak beranak.

"Itu tidak berasaskan soal anak beranak, tetapi kerana jawatan-jawatan mereka dalam parti dan dalam kawasan yang berbeza," katanya.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan bakal bertanding di kerusi Dun Juasseh, manakala anak tirinya, Mohd Najib yang juga Timbalan Ketua Umno Port Dickson bertanding bagi kerusi Dun Bagan Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:07 PM