Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno, pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Bekas Menteri Besar Johor dan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengumumkan hasratnya bertanding jawatan itu selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Johor, di sini, hari ini.

Katanya, beliau mengambil keputusan itu kerana masih mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti itu.

"Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini kerana itu saja jawatan (tertinggi) yang dibenarkan ditandingi.

"Saya percaya ramai tokoh lain termasuk penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan pertahan dan bertanding jawatan itu.

"Atas semangat untuk terus menyumbang bakti kepada parti pada semua peringkat, maka saya tawarkan diri untuk bertanding," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Johor, di sini, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Hasni yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, selepas menjawat jawatan itu sejak 2018.

Penggugurannya diputuskan Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) pada mesyuarat bulanan dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tempat Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut itu diambil alih Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno.

DATUK Seri Hasni Mohammad ketika ditemuramah selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Hasni Mohammad ketika ditemuramah selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.

Dua lagi penyandang Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ditanya ura-ura hampir 10 pemimpin dijangka menawarkan diri mempertahan dan bertanding jawatan naib presiden, Hasni berkata, itu membuktikan parti masih menjadi wadah utama perjuangan politik yang diyakini.

"Dikatakan ada 10 penjuru pertandingan jawatan Naib Presiden membuktikan walau apa jua dikata orang terhadap Umno termasuk ditolak masyarakat dan tidak relevan, namun ia terus jadi pilihan.

"Saya melihat ramai pemimpin yang tampil untuk tawar diri itu adalah petanda positif untuk parti dan beri gambaran pimpinan Umno tidak tinggalkan perjuangan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:16 PM