Norzamira Che Noh

Shah Alam: UMNO Selangor sudah memutuskan kerusi yang ingin ditandingi parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah dimaklumkan mengenai bayangan jumlah kerusi yang ingin ditandingi UMNO Selangor.

"Angka (jumlah kerusi) tidak perlu saya maklumkan sekarang, selepas ia dipersetujui, maka itu lah keputusan yang kita patuhi.

"Saya juga sudah meminta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman untuk memanggil mesyuarat Barisan Nasional (BN).

"Menerusi mesyuarat itu, kita akan maklumkan kerusi yang kita sudah perhalusi dan dipersetujui oleh UMNO untuk dibawa serta diputuskan di peringkat BN pula," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas perbincangan bersama parti komponen BN selesai, perbincangan akan diteruskan bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Kita sudah bersedia untuk berbincang, terserah kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan secara semangat kerajaan perpaduan.

"Di pihak kita (perbincangan) sudah selesai," katanya.

MEGAT Zulkarnain Omardin pada sidang media di Bangunan Kumpulan Muara, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
MEGAT Zulkarnain Omardin pada sidang media di Bangunan Kumpulan Muara, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain turut mengakui parti itu tidak berjaya memenangi sebarang kerusi di peringkat Parlimen pada PRU lalu bagaimanapun, jumlah undi yang diterima masih tinggi terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Justeru katanya, perkara itu (jumlah undi) perlu ada dalam asas rundingan bagi pembahagian kerusi.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memaklumkan Ketua UMNO Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah telah menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Selain itu, Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar; Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz dan Ketua Penerangan UMNO Selangor merangkap Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan keinginan untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 9:39 PM