MEGAT bergambar selepas diumumkan sah bertanding bagi Parlimen Gombak P.098 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri
MEGAT bergambar selepas diumumkan sah bertanding bagi Parlimen Gombak P.098 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Image

Gombak: Sumbangan dua dekad anak jati Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan menjadi manifesto Barisan Nasional (BN) bagi meraih undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Megat Zulkarnain berkata, sebagai seorang yang lahir, membesar dan tinggal di parlimen itu sudah pasti akan memberi perkhidmatan terbaik jika dipilih.

"Banyak lagi saya fikir isu di Gombak yang tidak selesai, sedangkan tiga penggal sebelum ini adalah dipegang oleh Menteri Besar Selangor namun masalah tetap tidak berubah.

"Lihatlah apa yang berlaku, saya rasa cukup sedih apatah lagi soal banjir, perumahan, tanah, tidak ada seorang pun yang bercakap, "katanya ketika ditemui selepas penamaan calon, di sini, hari ini.

Megat Zulkarnain berdepan saingan lima penjuru iaitu dari Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain penyandang kerusi parlimen berkenaan, Datuk Seri Azmin Ali.

Turut menyertai saingan di kerusi Parlimen itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Pada PRU-14 lalu, Azmin menang di kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi. Kerusi Parlimen Gombak dilihat antara kerusi panas pada PRU kali ini.

Sementara itu, calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berharap dapat menyambung mandat yang diberikan rakyat kepada PH.

"Sudah pasti cabarannya berbeza berbanding tahun sebelum ini dan kita akan memastikan segala strategi dan kerja dimanfaatkan.

"Ia bukanlah satu cabaran yang mudah tetapi PH merasakan ada peluang yang baik berdasarkan mood dan sentimen sokongan rakyat, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:22 PM