MEGAT Zulkarnain Omardin. FOTO arkib NSTP
MEGAT Zulkarnain Omardin. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin, bersyukur kerana diberi peluang kali kedua sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketua Umno Bahagian Gombak itu diumumkan sebagai calon kerusi Dun Gombak Setia oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis khas di PWTC malam tadi.

"Terima kasih kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana memberikan kepercayaan ini dan kedua, saya berharap sokongan daripada pengundi Gombak Setia demi kestabilan Selangor yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang penting, kita perlu jelaskan kepada rakyat dengan lebih terperinci sebagaimana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) jelaskan betapa pentingnya kestabilan negara.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu selesa, pada saya biarlah kita turun dan jelaskan kepada rakyat khususnya Dun Gombak Setia yang mana saya sudah biasa dan kenali, dengan harapan mereka boleh beri sokongan," katanya dihubungi hari ini.

Berhubung dengan pengenalan calon PRN bagi BN, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kita akan adakan majlis pengumuman atau pengenalan calon kesemua 56 Dun bagi gabungan BN-PH yang akan diumumkan oleh saya bersama Datuk Seri Amirudin Shari.

"Ini kita akan tunggu selepas semua calon PKR, Amanah dan DAP umumkan calon mereka. Insya-Allah, pastinya sebelum penamaan calon pada 29 Julai ini," katanya.

Pada PRU-14, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR ketika itu, Muhammad Hilman Idham yang memperoleh 24,157 undi.

Megat Zulkarnain memperoleh 11,113 undi manakala calon PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan pula memperoleh 11,758 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:17 PM