Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor akan diteliti semula berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim berkata, perkara berkenaan akan diputuskan dalam masa terdekat selepas Kabinet dibentuk di peringkat Persekutuan memandangkan Barisan Nasional (BN) kini sebahagian Kerajaan Perpaduan.

"Kita tengok perkembangan senario ini, BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Pembentukan kabinet dalam masa terdekat, mungkin hari ini atau esok.

'Jadi kita di peringkat Selangor akan meneliti..bagi saya masih terlalu awal lagi sebab kita perlu susunan (pembentukan kabinet) di Putrajaya terlebih dulu dan kemudian menyusul di negeri.

"Saya akan serahkan (perkara) ini kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menguruskan perbincangan dan sebagainya," katanya ketika diminta mengulas status BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dalam sidang media di Sidang Dun Selangor, di sini hari ini

Suee Lim berkata, kedudukan Dun Selangor akan disusun semula sekiranya beliau mendapat arahan seterusnya namun setakat ini belum ada perbincangan dan arahan daripada Menteri Besar.

"Setakat ini mereka akan kekal sebagai pembangkang, beliau (Datuk Rizam Ismail – BN Sungai Air Tawar) masih berperanan sebagai pembangkang dalam perbahasan.

"Kemungkinan dan kebarangkalian (kekal) sebagai pembangkang agak kecil. Kemungkinan ada (tidak lama lagi), BN akan di blok kerajaan sehingga tempoh pembubaran Dun," kata Naib Pengerusi DAP Selangor itu.

Sementara itu Rizam selaku Ketua Pembangkang Selangor memberitahu media, Badan Perhubungan Umno Selangor dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat termasuk berhubung perkara berkenaan.

"Belum ada apa-apa arahan, saya sedang menunggu...insya-Allah sehari dua ini ada mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor, mungkin di situ akan ada beberapa pengumuman oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) yang baru.

"Buat masa ini saya masih lagi pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan negeri untuk memastikan segala dasar-dasar kerajaan negeri dapat dibuat kepada rakyat di Selangor khususnya ketika ini rakyat terkesan dengan Covid-19 yang melanda negara dan begitu masalah ekonomi dunia hari ini.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan BN untuk meletakkan hala tuju BN Selangor sebab fokus saya adalah perjuangkan nasib rakyat, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang sebab kedua-duanya mempunyai peranan untuk memastikan rakyat terbela," katanya.

Komposisi terkini kerusi Dun Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (15) Amanah (enam), Umno (lima), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (empat), Parti Pejuang Tanah Air (dua), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala Pas, Warisan serta Bebas masing-masing satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 2:51 PM