Amir Abd Hamid


Ampang: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berharap 11,000 pengundi tegar Barisan Nasional (BN) akan memberi undi kepadanya di kawasan ditandingi itu.

Beliau berkata, segmen pengundi 'putih' penyokong tegar BN itu adalah antara tumpuan PH-BN bagi memastikan kemenangan gabungan blok politik berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

"Namun demikian, apa yang saya lihat perlu penerangan lebih jelas kepada ahli Umno khususnya yang veteran. Ini kerana untuk veteran itu mungkin maklumat itu sampai, mungkin tidak.

"Ini yang sebenarnya kita sedang usahakan lagi melalui rakan pimpinan BN untuk memberi penerangan kepada ahli mereka," katanya kepada media selepas mengadakan walkabout bertemu pengunjung dan peniaga Pasar Tani Taman Keramat AU2, di sini, hari ini.

Beliau turut ditemani Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden Umno.

Juwairiya berkata, Hulu Kelang adalah kawasan PH yang dimenangi selama tiga penggal.

Bagaimanapun katanya, ini adalah kali pertama gabungan PH-BN berpadu tenaga dengan kedua-dua parti mempunyai kekuatannya tersendiri.

Sementara itu, ditanya mengenai perjalanan kempennya, Juwairiya berkata, setakat ini beliau tidak berdepan sebarang masalah ketika bertemu dengan pengundi mahu pun daripada jentera BN sendiri.

"Saya menerima sokongan 100 peratus daripada rakan BN malah pada malam tadi saya turut dijemput dalam pertemuan tertutup dengan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Dalam pertemuan itu mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi BN kepada calon PH di Hulu Kelang.

"Jadi, saya syukur ke mana saja saya turun, rakan-rakan daripada BN turut sama dan ini menunjukkan perpaduan yang sebenar di Selangor yang turut dizahirkan di Hulu Kelang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:17 PM