Zuhainy Zulkiffli

Seberang Perai: Seramai 219 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersiap sedia bagi tugas menyelamat bagi kejadian banjir di lima daerah di negeri ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, setakat ini sebanyak 252 lokasi berisiko banjir dikenalpasti di negeri ini.

Katanya, sebanyak 90 daripadanya adalah di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara (76), Barat Daya (40), Timur Laut (26) dan Seberang Perai Selatan 20.

"Kesemua anggota itu membabitkan keseluruhan 20 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihati supaya sentiasa peka dengan cuaca semasa sekiranya terdapat tanda berkemungkinan banjir dan keluar ke kawasan yang selamat atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

ANGGOTA JBPM Pulau Pinang dan beberapa agensi, ketika melakukan tugas khas memantau keadaan semasa di Kampung Lima Kongsi. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA JBPM Pulau Pinang dan beberapa agensi, ketika melakukan tugas khas memantau keadaan semasa di Kampung Lima Kongsi. FOTO Ihsan JBPM

Sementara itu dalam perkembangan banjir kilat, keadaan bertambah baik di daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara.

Katanya, pemantauan dan tinjauan terus dijalankan bagi memastikan kelancaran kerja menyelamat sekiranya berlaku bencana.

"Antara lokasi di daerah Seberang Perai Selatan yang terbabit ialah di Sungai Baong, Kampung Lima Kongsi, Sungai Bakap, Taman Widuri, Changkat dan Kampung Sethu dengan pemantauan menerusi kekuatan membabitkan seramai 15 anggota masing-masing dari BBP Sungai Bakap dan Batu Kawan.

"Setakat ini tiada mangsa banjir yang terbabit dengan pemindahan manakala keadaan di daerah Seberang Perai Utara adalah terkawal.

"Agensi lain yang turut bersedia dengan bencana itu ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Jabatan Kebanjikan Masyarakat (JKM) negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), " katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan beberapa lokasi sekitar daerah Seberang Perai Selatan dinaiki banjir kilat selepas hujan berterusan sejak jam 3 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.51 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 8:41 PM