GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 113 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara sejak Op Selamat 18 Sempena Aidilfitri bermula Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang tempoh sama juga, 9,816 kemalangan dilaporkan di seluruh negara.

"Sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan pada hari pertama Op Selamat dengan 10 kemalangan maut membabitkan 10 kematian.

"Semalam pada hari keenam Op Selamat pula, sejumlah 1,455 kemalangan lagi direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta serta satu kematian pemandu van.

"Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

"Sementara itu, Melaka (405 kes), Kelantan (484 kes), diikuti Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes)," katanya.

Razarudin berkata, jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kemalangan, diikuti jalan persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes).

Sementara itu, katanya sebanyak 26,837 saman enam kesalahan utama dikeluarkan keatas pengguna jalan raya pada hari keenam Op Selamat ke 18.

"Kesalahan memotong Q masih lagi sering kali dilakukkan pengguna jalan raya iaitu 458 saman dikeluarkan manakala kesalahan melanggar lampu isyarat dengan 413 saman dikeluarkan.

"Sebanyak 417 saman dikeluarkan atas kesalaha menggunakan lorong kecemasan, memandu melebihi had laju (25, 582),menggunakan alat komunikasi (180) dan memotong di garisan berkembar (85)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 1:14 PM