KEADAAN rumah penduduk Kampung Ongkilan, Kota Marudu yang digenangi air. FOTO Bernama
KEADAAN rumah penduduk Kampung Ongkilan, Kota Marudu yang digenangi air. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 10,347 orang pagi ini berbanding 10,312 orang, malam tadi.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah setakat jam 8 pagi tadi menunjukkan peningkatan itu berpunca daripada pembukaan semula sebuah PPS di Lahad Datu, selain sedikit pertambahan mangsa di Pitas dan Paitan.

PPS Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu dibuka malam tadi bagi menempatkan seramai 23 mangsa daripada lima keluarga.

Khamis lalu, situasi banjir di Lahad Datu diisytihar pulih berikutan penutupan satu-satunya PPS yang beroperasi di daerah itu, iaitu PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan.

Perkembangan itu menjadikan enam daerah terjejas banjir di Sabah setakat pagi ini iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu, Telupid, Tawau dan Lahad Datu.

Pembukaan sebuah PPS baru di Lahad Datu menjadikan 34 PPS beroperasi setakat ini dengan 12 PPS di Kota Marudu, masing-masing sembilan PPS di Paitan dan Pitas, dua di Telupid dan masing-masing satu PPS di Tawau serta Lahad Datu.

Sementara itu, mangsa dipindahkan ke PPS di Pitas pagi ini meningkat kepada 2,168 orang berbanding 2,160 malam tadi, manakala di Paitan meningkat kepada 668 mangsa berbanding 664 mangsa malam tadi.

Hanya mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Kota Marudu tidak mencatat pertambahan berbanding malam tadi, iaitu kekal 7,358 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 9:59 AM