Pusat PPS di buka menempatkan mangsa banjir yang terbabit di beberapa daerah di Sabah setakat pagi ini. FOTO Ihsan APM
Pusat PPS di buka menempatkan mangsa banjir yang terbabit di beberapa daerah di Sabah setakat pagi ini. FOTO Ihsan APM
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Mangsa banjir yang dipindahkan di lima daerah di kawasan pantai timur dan utara Sabah bertambah kepada 1,161 orang, setakat tengah hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 717 mangsa daripada 212 keluarga yang dilaporkan pagi tadi berikutan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit.

Berdasarkan maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan 969 orang.

Ia diikuti daerah Sandakan dengan 61 mangsa, daerah kecil Paitan (50 mangsa), Telupid (43 mangsa) dan Beluran dengan 38 mangsa setakat ini.

Semua mangsa dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan tujuh daripadanya di Kota Marudu, tiga di Telupid, dua PPS di Paitan dan masing-masing satu di Sandakan serta Beluran.

Selain lima daerah terbabit, beberapa kawasan rendah di tiga daerah lain iaitu Kinabatangan, Lahad Datu dan Ranau turut dilapor mengalami banjir.

Laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah selaku sekretariat JBPN menunjukkan jumlah kampung paling banyak terjejas adalah di daerah kecil Paitan iaitu 16 kampung, diikuti Kota Marudu (10 kampung), Telupid (dua) dan masing-masing satu di Beluran serta Sandakan.

Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan tahap jingga berlaku di Sandakan, Telupid, Beluran dan Kudat sehingga esok, selain hujan lebat tahap kuning di Tuaran, Ranau, Kota Belud dan Kinabatangan sehingga Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:59 PM