FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 6,453 orang petang ini berbanding 6,313 mangsa yang dilaporkan pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah utara Sabah.

Daerah terbabit ialah Pitas, Kota Marudu, Kudat dan daerah kecil Paitan yang terjejas teruk akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Daerah Kota Marudu kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 4,789 mangsa daripada 1,731 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat jam 4 petang, diikuti Kudat (739 mangsa); Pitas (554 mangsa) dan Paitan (371 mangsa).

Sementara itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah setakat jam 4 petang tadi menunjukkan dua PPS yang dibuka sebelum ini ditutup selepas paras banjir surut.

PPS terbabit ialah di Dewan Terbuka Matunggong, Kudat dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan di Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:41 PM