KEADAAN banjir di Kampung Tolungan, Pamol, Beluran. FOTO BERNAMA
KEADAAN banjir di Kampung Tolungan, Pamol, Beluran. FOTO BERNAMA
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 3,385 mangsa membabitkan 1,329 keluarga masih ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah.

Jumlah berkenaan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 3,365 mangsa daripada 1, 331 keluarga pada 9 malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, enam daerah yang masih dilanda banjir ialah Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Telupid dan Paitan.

Katanya, Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,668 orang daripada 1,120 keluarga yang dipindahkan di 14 PPS.

"Selain itu, di Pitas, terdapat 319 mangsa daripada 120 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Manakala di Telupid, tujuh PPS dibuka dengan merekodkan 216 mangsa membabitkan 49 keluarga.

"Sementara itu, Paitan mencatatkan seramai 99 orang membabitkan 23 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS, manakala di Sandakan seramai 45 mangsa membabitkan tujuh keluarga yang dipindahkan ke sebuah PPS.

"Daerah yang turut terjejas ialah Beluran yang mencatatkan seramai 38 mangsa daripada 10 keluarga yang kini berada di satu PPS," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap APM Sabah meminta semua penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca semasa ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 8:55 AM