Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kekurangan bekalan telur ayam membuatkan pengguna tiada pilihan selain mendapatkan telur ayam kotor yang turut dijual dengan harga lebih murah berbanding dengan telur ayam biasa.

Tinjauan di syarikat pemborong telur di Cabang Tiga, di sini mendapati pengguna tidak lagi memilih membeli telur termasuk telur ayam kotor.

Pengurusnya, Nursyzanil Adha Ramli berkata, telur ayam kotor dijual dengan harga RM11.10 sepapan mengandungi pelbagai gred, berbanding telur ayam biasa berharga RM13.50 sepapan bagi gred A, RM12.90 (gred B) dan RM12.30 (gred C).

"Sebelum ini telur ayam kotor hanya dibeli pengusaha kedai makan dan pembuat kuih.

"Namun, disebabkan kekurangan bekalan telur ayam kotor tetap menjadi pilihan pengguna. Malah, 700 hingga 800 papan telur kotor habis dalam masa sehari," katanya.

"Telur ini sama saja, cuma luaran dia saja kotor. Jadi, kita sarankan pengguna bersihkan dulu telur ini sebelum menggunakannya," katanya.

Seorang pengguna, Mariani Salim, 50, berkata, dia tidak kisah membeli telur ayam kotor kerana bekalan sekarang susah untuk diperoleh.

"Telur ayam kotor murah sikit berbanding dengan telur biasa dan saya basuh semula telur ini sebelum digunakannya," katanya.

Bagi Ahmd Jusoh, 62, sebelum ini dia takut juga mahu membeli telur ayam kotor ini, namun kena bersihkan dulu sebelum guna.

"Bagaimanapun, selepas saya membasuhnya dulu sebelum menggunakannya dan hasilnya sama seperti telur biasa," katanya.

ANTARA telur ayam kotor yang djiual pemborong. FOTO Faizul Azlan Razak
ANTARA telur ayam kotor yang djiual pemborong. FOTO Faizul Azlan Razak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 3:14 PM