CHON Siang (dua dari kanan) bersama tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan di Myanmar. FOTO Samadi Ahmad.
CHON Siang (dua dari kanan) bersama tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan di Myanmar. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Sepang: Diugut makan tikus, daging babi dan rogol adalah antara cabaran dilalui dua remaja yang berjaya diselamatkan dari sindiket pekerjaan di Myawaddy, Myanmar hari ini.

Mangsa terdiri dari seorang remaja lelaki dan wanita Islam serta lelaki berbangsa Cina berumur antara 19 hingga 33 tahun.

Mereka dibawa pulang dari Bangkok, Thailand dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 11 pagi diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang.

Mangsa wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, 19, dari Johor Bharu berkata, dia berada di Myanmar sejak empat bulan lalu selepas terpedaya dengan gaji RM4,000 yang ditawarkan ejen sindiket melalui laman Faceebook.

Menurutnya, ejen terbabit menawarkan kerja di dalam syarikat Forex di Thailand dan tidak menyangka dibawa ke Myanmar untuk dijadikan hamba sindiket pekerjaan.

Katanya, sindiket didalangi warga Cina itu menetapkan setiap pekerja perlu mendapatkan 3,000 Yuen sehari dengan mensasarkan rakyat Malaysia melalui aplikasi pembayaran sewa kereta dan e-hailing.

"Sekiranya sasaran tidak menepati seperti ditetapkan, sindiket akan mengenakan denda bekerja lebih 12 jam sehari, ketuk ketampi 100 kali dan tidak diberikan gaji dan makanan, "katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Muhammad, 26, dari Terengganu, dia dan Sha saling mengenali dan mereka berdua bersetuju ke Thailand menggunakan jalan darat dari Johor Bharu ke Kelantan hingga ke sempadan negara di Golok, Thailand.

Menurutnya, dari Johor mereka dibawa menggunakan kereta oleh seorang pemandu yang juga ejen ke Golok secara haram untuk bertemu individu lain di Thailand.

"Kami tidak tahu di mana lokasinya, telefon bimbit juga dirampas serta sukar untuk menghubungi pihak luar. Kami menghubungi keluarga menggunakan telefon bimbit di situ untuk mendapatkan bantuan.

"Sindiket menempatkan kami di sebuah bangunan dan terdapat kira-kira 16 rakyat Malaysia lain yang dijadikan mangsa sindiket pekerjaan namun tidak dibenarkan berkomunikasi, jika tidak kami akan dihukum," katanya.

Mohammad berkata, dia sempat menghubungi adiknya pada awal bulan lalu bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, mereka diselamatkan oleh seorang rakyat Malaysia, Victor Wong yang tinggal di Thailand bersama beberapa anggota tentera selepas menerima maklumat dari tanahair.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 5:55 PM