SEBAHAGIAN rakyat Indonesia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di selamatkan. FOTO Kementerian Luar Indonesia.
SEBAHAGIAN rakyat Indonesia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di selamatkan. FOTO Kementerian Luar Indonesia.
Agensi

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia berjaya menyelamatkan 20 rakyat Indonesia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mereka diselamatkan di daerah Myawaddy iaitu tempat pertempuran antara tentera dan kumpulan penentang bersenjata yang semakin sengit.

Kementerian Luar berkata, Kedutaan Indonesia di Yangon melalui kerjasama dengan rangkaian tempatan yang mempunyai akses ke kawasan itu berjaya membawa mangsa penipuan pekerjaan keluar dari wilayah itu ke sempadan Thailand.

Katanya, penyelamatan dibahagikan kepada dua fasa, dengan empat warga Indonesia pertama dipindahkan pada Jumaat, dan bakinya, 16 orang pada Sabtu lalu.

"Kedutaan Indonesia di Bangkok akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand mengenai permit penghantaran pulang mereka ke Indonesia," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Media turut melaporkan bukan hanya Indonesia, malah ada juga mangsa penipuan pekerjaan dari dari Malaysia, Taiwan dan juga China ditahan dalam keadaan seperti penjara di kawasan Myawaddy di sempadan Thailand dan Myanmar.

Berita mengenai mangsa pemerdagangan manusia yang mula-mula tertarik untuk bekerja di Thailand sebelum berakhir di Myanmar, tular selepas salah seorang ahli keluarga mereka menyiarkan video di Instagram mengenai keadaan mereka di Myawaddy dan merayu untuk mendapatkan bantuan.

"Tolong bawa kami kembali, Pak Jokowi," kata mereka dalam video itu merujuk kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Khamis lalu, Widodo berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa penipuan pekerjaan dari Myanmar.

Kedutaan Indonesia menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Myanmar dan meminta bantuan.

Ketua Kesatuan Pekerja Migran Indonesia (SBMI), Hariyanto Suwarno yang menyokong keluarga mangsa memfailkan kes mereka kepada pihak berkuasa berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan membebaskan mangsa.

Katanya, pemindahan itu tidak seharusnya menghentikan proses undang-undang sebaliknya mewajarkan usaha penguatkuasaan undang-undang untuk mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia itu.

Minggu lalu, keluarga yang mewakili 20 mangsa membuat laporan polis berhubung isu terbabit.

Mangsa ditipu dan dijanjikan pekerjaan seperti pegawai perkhidmatan pelanggan dengan bayaran antara 12 juta rupiah (kira-kira RM3,617) dan 25 juta rupiah (kira-kira RM7,537) sebulan.

Namun, mereka terpaksa bekerja sebagai penipu dalam talian dengan waktu kerja panjang sehingga 19 jam sehari.

Mereka didenda antaranya hukuman fizikal termasuk dipukul dan disebat atau dijual kepada syarikat lain apabila gagal mencapai sasaran pekerjaan yang ditetapkan sindiket.

Sebelum mereka dibebaskan, mereka ditahan di Myawaddy yang dipisahkan dari bandar sempadan Thai Mae Sot di tepi Sungai Moei.

Wilayah itu adalah lokasi pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak etnik dari minoriti Karen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 1:07 PM