MUSA (tiga dari kanan) dan Hisamuddin (kiri) menyambut tiga mangsa sindiket penipuan pekerjaan di KLIA2. FOTO Samadi Ahmad
MUSA (tiga dari kanan) dan Hisamuddin (kiri) menyambut tiga mangsa sindiket penipuan pekerjaan di KLIA2. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pasangan suami isteri dan seorang lelaki dari Johor Bharu yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar selamat dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Bangkok, Thailand pada 4.30 petang diiringi ahli jawatankuasa Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Azirul Shafiq yang membantu kerja menyelamat ketika di Thailand.

Ketibaan mereka disambut Penasihat MHO Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.

Hishamuddin berkata, tiga mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ini pernah bersama bekerja di Singapura, namun terpedaya dengan tawaran gaji RM15,000 sebulan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Thailand yang diiklankan di media sosial.

Menurutnya, mereka bertiga menaiki kapal terbang dari Johor Baharu ke Bangkok pada 16 Oktober lalu yang ditanggung sepenuhnya oleh sindiket penipuan itu.

Katanya, selepas tiba di Bangkok, mereka diterbangkan ke Chiang Rai sebelum dibawa Mea Sai dan ditempatkan di sebuah hotel.

"Keesokannya mereka dibawa dengan dua motosikal dan melintasi sebuah sungai di Taichileik, Myanmar lalu ditempatkan di sebuah stor sebelum diserahkan kepada sindiket," katanya kepada pemberita di KLIA2, di sini, hari ini.

Hisamuddin berkata, apabila tiba di Taichileik, seorang daripada mangsa menyedari mereka sudah berada di Myanmar menerusi navigasi sistem kedudukan geografi (GPS) melalui telefon bimbit lalu menghubungi MHO bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, MHO menghubungi badan bukan kerajaan (NGO) di Thailand bagi mendapatkan bantuan menyelamat mangsa di lokasi yang dikongsikan dan berlaku pergelutan dengan pihak sindiket namun mereka berjaya diselamatkan.

"Wanita yang diselamatkan itu juga mengandung lima bulan dan dia bernasib baik diselamatkan sebelum diserahkan kepada sindiket.

"Kebiasaannya wanita mengandung dipaksa menggugurkan kandungan oleh anggota sindiket sebelum diarah bekerja," katanya.

SEPANG 27 OKTOBER 2023.Musa (tiga dari kanan) dan Hisamuddin (kiri sekali) menyambut ketibaan tiga rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar di klia2 hari ini.Foto/NSTP Samadi Ahmad.

From: Samadi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 8:55 PM