Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Dipancing dengan pendapatan lumayan mencecah RM7,000, seorang lelaki tempatan akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan kini menjadi tebusan di Myanmar.

Lebih parah apabila pihak sindiket meminta wang tebusan berjumlah USD50,000 (RM232,225) dan jika tidak mampu mangsa sendiri perlu mencari serta menjerat dua lagi individu sepertinya sebelum dibebaskan.

Adik ipar mangsa yang enggan dikenali berkata, pertengahan Disember lalu, abangnya terjumpa satu iklan di Facebook menawarkan pendapatan lumayan untuk kerja selama satu minggu di negara jiran.

Tertarik dengan tawaran itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan menghubungi ejen yang menawarkan pekerjaan pada iklan itu tanpa menyedari ia sebenarnya didalangi sindiket penipuan kerja.

"Abang saya nampak iklan di Facebook dan ranya (ejen) lalu mereka terus beri tiket penerbangan ke Bangkok, Thailand.

"Sampai di sana dia dibawa seorang pemandu ke sempadan Thailand menaiki kereta ketika itu abang tidak tahu sudah ditipu.

"Masuk hari kedua dia dibawa ke sebatang sungai dan diarahkan untuk ke seberang barulah dia sedar sudah ditipu sindiket," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas beberapa jam tiba di premis milik sindiket barulah telefon bimbit miliknya diserahkan semula dan mangsa terus menghubungi keluarga di Malaysia untuk meminta bantuan.

Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, taktik yang digunakan sindiket terbabit untuk memancing mangsa sudah sering kali digunakan namun masih ramai terpedaya.

"Kita MHO sedang berusaha untuk membawa pulang mangsa dan kita sedang bincang dengan kerajaan Malaysia dan Thailand untuk selamatkan mangsa.

"Kita sekarang sedang kerjasama dengan kerajaan China juga untuk selamatkan mangsa-mangsa sindiket di kawasan Myawaddy, Myanmar," katanya.

Daniel turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan untuk kerja yang mudah atau singkat terutama di luar negara.

"Sebelum terima tawaran kerja tolong semak dahulu latar belakang syarikat terbabit, boleh semak dengan agensi berkaitan atau dengan Kementerian Luar Negeri.

"Kalau boleh minta syarikat berkenaan sediakan permit kerja di negara terbabit terlebih dahulu jika tidak macam mana nak bekerja di negara orang?" katanya.

DANIEL (kiri) pada sidang media bersama keluarga mangsa. Turut serta Naib Ketua Biro Aduan PKR, Deric Teh (kanan). FOTO Rohanis Shukri
DANIEL (kiri) pada sidang media bersama keluarga mangsa. Turut serta Naib Ketua Biro Aduan PKR, Deric Teh (kanan). FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 12:17 PM