MUHAMAD berpelukan dengan ibunya selepas tiba dari Bangkok di KLIA semalam. FOTO Samadi Ahmad
MUHAMAD berpelukan dengan ibunya selepas tiba dari Bangkok di KLIA semalam. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: "Saya pernah menghalang hasrat anak untuk bekerja di Singapura bagi mendapatkan gaji lumayan kerana risaukan keselamatannya dan tidak menyangka dia dibawa ke Myanmar," kata ibu mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang hanya ingin dikenali sebagai Moon, 53, dari Kampung Parit Raja, Johor.

Moon yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkata, hasrat anaknya yang hanya ingin dikenali sebagai Muhamad, 21, akhirnya dipersetujui selepas mendapat tahu dia akan pergi bersama empat lagi sahabatnya sekampung.

Menurutnya, Muhamad yang bekerja sambilan di kampung sebelum ini mendapat tawaran kerja di Singapura melalui rakan kampung di media sosial pada September lalu yang diuruskan oleh pihak ejen namun tidak memaklumkan bidang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka.

Katanya, selepas bertolak anaknya memaklumkan mereka tidak jadi bekerja di Singapura kerana ejen memaklumkan tiada kekosongan di republik itu dan memindahkan mereka ke Thailand.

"Sebelum ke Thailand mereka berlima ditempatkan di sebuah hotel di Johor Bharu selama dua hari untuk dokumentasi dan tiket penerbangan yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak ejen seterusnya di bawa ke Myanmar," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Semalam anaknya bersama seorang rakan kampung, Shidi, 19, dan empat lagi warga Malaysia mangsa penipuan sindiket pekerjaan di Myanmar dibawa pulang dari Bangkok, Thailand.

Empat mangsa lain berumur antara 25 hingga 30 tahun masing-masing dua dari Kota Kinabalu, Sabah dan masing-masing seorang dari Kuala Lumpur dan Miri, Sarawak.

Kepulangan mereka diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang dari Bangkok, pada 8.45 pagi dengan pesawat TG145 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah hari.

Moon berkata, sepanjang berada di Myanmar anaknya pernah menghubungi keluarga beberapa kali dan menyatakan dia selamat dan berkerja dengan sindiket penipuan.

Menurutnya, apabila dimaklumkan anak bekerja sebagai 'scammer', hatinya mula bimbang kerana sebelum ini pernah terbaca di media sosial dan akhbar yang menyiarkan penderitaan dilalui oleh rakyat Malaysia yang dijadikan sebagai pekerja di luar negara.

Katanya, sangkaannya betul kerana anaknya berhadapan masalah penderaan seperti tidak diberi makanan, dipukul dengan getah paip dan direndam di dalam kolam air apabila tidak mencapai sasaran RM30,000 sehari seperti yang ditetapkan oleh pihak sindiket.

"Anak sengaja merahsiakan penderaan dialaminya dan berkongsi maklumat dengan rakan lain di kampungnya bagi mendapatkan pertolongan kerana dia tidak mahu saya risau lebih-lebih lagi ketika ini menghidap kencing manis dan darah tinggi.

"Pada Oktober lalu anak pernah menghubungi rakan supaya menyediakan wang tebusan RM15,000 dan sekiranya gagal untuk tempoh ditetapkan dia akan dijual kepada agensi lain di Laos," katanya.

Moon berkata, selepas rakan-rakannya gagal mengumpul jumlah wang tebusan itu mereka datang berjumpa saya dan suami untuk memaklumkan keadaan sebenar anak di Myanmar.

Menurutnya, dia terkejut dengan berita itu dan sebagai pekerja yang tidak berpendapatan tetap mereka juga tidak mempunyai jumlah wang sebanyak itu untuk dibayar kepada pihak sindiket.

Katanya, mereka sekeluarga akhirnya membuat keputusan untuk membuat laporan di balai polis Parit Raja dan bertemu dengan Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bagi mendapatkan bantuan membawa anak pulang.

"Sepanjang itu saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga anak diberi keselamatan dan akhirnya dimakbulkan apabila anak selamat dibawa pulang.

"Kami juga berharap agar tiga lagi rakannya yang masih berada di Myanmar dapat diselamatkan dan dibawa pulang sebelum sebarang perkara buruk berlaku ke atas mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 12:08 PM