Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Terkejut melihat sekatan jalan raya pihak berkuasa, seorang remaja lelaki di sini, bertindak meninggalkan motosikal ditunggang di tepi jalan sebagai cubaan melarikan diri.

Remaja berusia 17 tahun yang memberi alasan memasuki lorong untuk ke rumah ibu saudaranya itu kira-kira 10 meter dari sekatan bagaimanapun berjaya ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengekorinya.

Remaja yang tidak memiliki lesen motosikal itu berkata, dia berhasrat untuk keluar berjalan-jalan sempena ambang tahun baharu namun tidak menyangka ada sekatan jalan raya di lokasi itu.

"Saya sangat terkejut dan secara spontan memberhentikan motosikal sebelum berjalan memasuki lorong dengan harapan dapat melepaskan diri kerana tiada lesen (motosikal).

"Selain itu, cukai jalan motosikal Yamaha 125ZR milik saya ini juga sudah mati dan disebabkan itu saya jarang menunggangnya, namun malam ini nasib saya tidak baik," katanya ketika ditemui di Jalan Kubang Kerian - Pasir Hor, di sini, malam tadi.

Selain tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, remaja lelaki itu yang sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai tukang rumah itu juga dikenakan empat lagi saman lain termasuk kesalahan teknikal.

Dalam operasi khas sempena ambang tahun baharu 2023 itu, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah turut hadir membuat pemantauan.

Beliau berkata, selain Kota Bharu, Machang dan Gua Musang adalah dua lagi lokasi operasi khas Ambang Tahun Baharu 2023 itu, yang diadakan secara serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 9:57 AM
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengangkat motorsikal yang disita ke dalam lori bagi kesalahan mengubahsuai ekzos dan enjin motosikal di sekatan jalan raya di Jalan Pasir Hor - Kubang Kerian di sini, sempena Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengangkat motorsikal yang disita ke dalam lori bagi kesalahan mengubahsuai ekzos dan enjin motosikal di sekatan jalan raya di Jalan Pasir Hor - Kubang Kerian di sini, sempena Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR