Norizuan Shamsuddin


TINDAKAN pelajar tingkatan lima menunggang motosikal yang diubahsuai untuk lumba haram membawa padah apabila ditahan menerusi operasi bersepadu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, malam tadi.

Remaja lelaki terbabit antara individu ditahan bagi pemeriksaan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas hasil Op Cegah Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), bermula jam 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam.

Antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh remaja terbabit adalah tiada lesen, nombor pendaftaran dan ekzos tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, menggunakan tayar ‘sotong’, tiada brek belakang, tidak pamerkan nombor pendaftaran hadapan serta gagal menunjukkan cukai jalan sewaktu pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa.

Hasil soal siasat dilakukan oleh pegawai polis mendapati remaja yang berasal daripada Sungai Buloh, Selangor terbabit datang ke ibu kota untuk mempamerkan keunikan motosikal yang baharu siap diubahsuai sejak tiga minggu lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Mat Danish ketika ditemui memaklumkan melakukan ubahsuai motosikal terbabit secara berperingkat menggunakan wang simpanan sekolah, selain melakukan kerja sambilan sebagai pekerja katering.

ANGGOTA polis mengepung kumpulan penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid
ANGGOTA polis mengepung kumpulan penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid

Malah, dia turut mengakui terbabit dalam beberapa aktiviti lumba haram sebelum ini.

“Motosikal ini adalah milik ayah tetapi diberikan kepada saya untuk digunakan ke sekolah.

“Saya melakukan pengubahsuaian secara berperingkat dan baru tiga minggu siap.

“Tak sangka ditahan polis kerana melakukan ubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi kerana sebelum ini saya tidak pernah ditahan oleh polis atau JPJ,” katanya dalam keadaan menggigil selepas di soal siasat oleh pegawai polis.

Difahamkan remaja terbabit dikenakan lapan saman dan diarahkan untuk menjalani pemeriksaan motosikal di JPJ WPKL.

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, menerusi operasi terbabit sebanyak 745 motosikal dan 196 kereta ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan sebanyak 375 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk remaja berusia 17 tahun yang menunggang motosikal yang diubahsuai untuk lumba haram.

“Sementara, JPJ WPKL mengeluarkan 18 saman dan 36 notis pemeriksaan.

“Antara kesalahan di kesan adalah tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, ubahsuai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 40-an selepas disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:42 AM
ANGGOTA polis mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid
ANGGOTA polis mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal dalam operasi bersepadu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid