Anggota menjalankan pemeriksaan dalam Op Bersepadu di depan IPD Jelebu. FOTO/ Abnor Hamizam Abd Manap
Anggota menjalankan pemeriksaan dalam Op Bersepadu di depan IPD Jelebu. FOTO/ Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

REMAJA lelaki berusia 15 tahun antara 72 individu yang dikenakan saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Bersepadu di Kilometer 0.5 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, semalam.

Remaja terbabit ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen dalam operasi selama lima jam yang bermula 2 petang.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, remaja itu memberi alasan menunggang motosikal untuk ke kedai berhampiran.

“Polis mengeluarkan saman terhadap remaja itu selain turut menyaman bapanya kerana kesalahan membenarkan anak menunggang tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

“Polis memandang serius kesalahan itu kerana remaja terbabit masih di bawah umur, bukan saja membahayakan keselamatannya tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ibu bapa seharusnya mengawasi pergerakan anak mereka supaya tidak membenarkan menunggang atau memandu tanpa lesen dan cukai jalan yang sah.

Kamarul Rizal berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 72 individu dikenakan saman atas pelbagai kesalahan trafik terutama lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan operasi secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 1:21 PM