SESI Taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan Agensi bersama YAB Perdana Menteri yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. FOTO ihsan FB
SESI Taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan Agensi bersama YAB Perdana Menteri yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. FOTO ihsan FB
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan terbabit diterajui oleh Ketua Pengarahnya Datuk Seri Rosida Jaafar.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

"Sesi taklimat kepada Perdana Menteri disampaikan oleh Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan.

"Jabatan yang sebelum ini adalah sebuah kementerian, distrukturkan semula pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Mohd Zuki berkata, sebaik selesai taklimat terbabit, beliau bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

Katanya, majlis terbabit adalah platform antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Solehuddin Alyubi, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail," katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL dan menjadi lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL yang diadakan secara tertutup.

Kehadiran Perdana Menteri ke DBKL itu dilihat sebagai langkah penting memandangkan ketiadaan portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Anwar.

Perdana Menteri tiba di Menara 1 DBKL pada jam 9 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kehadiran beliau turut disambut kira-kira 100 warga DBKL.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama gabungan parti politik antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN).

Keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri turut dizahirkan selepas meraih undian suara majoriti dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:11 PM