Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mendahului senarai 335 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Abdul Rahman dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Penerima lain yang turut dikurniakan SUWM adalah Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Melaka, Tun Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Seramai 24 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Penerima lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Yusof Ismail.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan; bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Noorsin Ab Razak dan pakar bahasa yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Sementara itu, 81 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican; Pengarah Jabatan Agama Islan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz turut menerima anugerah.

PMW turut dianugerahkan kepada atlet sukan iaitu bekas jaguh badminton negara, Datuk Abd Rashid Mohd Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit serta Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

ANNUAR (tengah) pada sidang media. Turut hadir, Rosida (kiri) dan Mahadi. FOTO Rohanis Shukri
ANNUAR (tengah) pada sidang media. Turut hadir, Rosida (kiri) dan Mahadi. FOTO Rohanis Shukri

Sasterawan Negara, Datuk Prof Dr Siti Zainon Ismail dan penulis lirik serta skrip terkenal, Datuk Habsah Hassan turut menerima anugerah.

Selain itu, 49 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JWM), 76 individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 31 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata, tarikh Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima kelak.

"Walaupun Istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, SUMW, SMW dan PMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka. Wanita, yang suami mereka dikurniakan Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka.

"Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 10:20 AM