PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Arkib NSTP.
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Isu pembangunan, penyelenggaraan dan alam sekitar antara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Lumpur dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam pertemuan tertutup yang berlangsung lebih sejam di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini itu, beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan isu yang menyentuh mengenai Bukit Persekutuan, Kampung Sungai Baru dan Petaling Street.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan antara Ahli Parlimen di sekitar ibu negara dengan Perdana Menteri bertujuan mencari hala tuju mapan untuk pembangunan lestari di Kuala Lumpur.

"(Ini adalah) perjumpaan yang baik untuk menetapkan beberapa dasar, malah Perdana Menteri mendengar pandangan daripada Ahli Parlimen dengan sebaiknya.

"Saya percaya selepas ini hubungan antara Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah DBKL dan Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan bertambah baik kerana fokus kita adalah untuk membantu menyelesaikan masalah warga di ibu kota," katanya kepada BH, hari ini.

Selain Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, pertemuan itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen lain yang hadir ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL dan menjadi lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL yang diadakan secara tertutup.

Kehadiran Perdana Menteri ke DBKL itu dilihat sebagai langkah penting memandangkan ketiadaan portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Anwar.

Perdana Menteri tiba di Menara 1 DBKL pada jam 9 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kehadiran beliau turut disambut kira-kira 100 warga DBKL.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama gabungan parti politik antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri turut dizahirkan selepas meraih undian suara majoriti dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:33 PM